ANGGOTA polis dan SEB melakukan pemotongan elektrik di premis dipercayai menjalankan kegiatan perjudian tanpa lesen. FOTO ihsan polis.
ANGGOTA polis dan SEB melakukan pemotongan elektrik di premis dipercayai menjalankan kegiatan perjudian tanpa lesen. FOTO ihsan polis.
Erika George


Bintulu: Berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit, 18 premis di sini didapati menjalankan kegiatan judi tanpa lesen menyebabkan pihak berkuasa bertindak memutuskan bekalan elektrik di premis terbabit, semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, meskipun sudah diberikan amaran berkali-kali, pemilik premis masih berdegil.

"Justeru, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu dengan bantuan Sarawak Energy Berhad (SEB) memotong elektrik di premis itu bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari.

"Semua premis kebanyakannya terdiri daripada kedai runcit di sekitar kawasan bandar Bintulu dan Tanjung Kidurong dikenakan tindakan itu mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Menerusi seksyen berkenaan, polis boleh memotong bekalan elektrik dengan alasan munasabah mempercayai premis sasaran ada menjalankan aktiviti perjudian," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama pasukan PDRM dan SEB akan terus menjalankan pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang bagi membendung kegiatan judi tanpa lesen di bahagian berkenaan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, pemotongan bekalan elektrik itu antara langkah terbaik bagi menangani kegiatan judi tanpa lesen khususnya kegiatan judi dalam talian.

"Antara kesalahan lain turut dikesan ketika pemeriksaan lanjut ialah beberapa premis niaga turut gagal mengemukakan lesen perniagaan runcit yang juga satu kesalahan di bawah undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kami turut memberi amaran keras kepada pemilik premis niaga di Bintulu supaya tidak menyalahgunakan premis perniagaan bagi menjalankan kegiatan judi.

"Pelaku akan dikenakan tindakan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 12:47 AM