Erika George


PEMANDU van sekolah yang parah terkena renjatan elektrik, meninggal dunia selepas tiga hari bertarung nyawa di Hospital Bintulu, Bintulu, hari ini.

Wanita terbabit, Singa Gawan, 55, yang melecur 70 peratus pada badan menghembuskan nafas terakhir, 3.25 pagi.

Ketua Polis Daerah Tatau Deputi Superintendan Dennis Bunyam ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata, anak lelaki mangsa, Allister Kilat, 11, yang separa melecur pada badan, kini stabil dan masih dirawat di Hospital Bintulu.

“Polis dan Sarawak Energy Berhad (SEB) masih menjalankan siasatan terperinci punca sebenar wayar elektrik itu putus sehingga dilanggar van sekolah terbabit,” katanya.

Dalam kejadian 6.45 pagi Selasa lalu, Singa yang sedang menghantar lima murid termasuk anaknya ke sekolah berhampiran terlanggar kabel elektrik yang terjatuh di simpang keluar Taman Lee Cheng, di Tatau.

Kejadian itu menyebabkan Singa dan anaknya mengalami kecederaan apabila kabel elektrik itu terkena bahagian depan van hingga menyebabkan enjinnya terbakar 10 peratus.

Empat lagi yang turut berada dalam van iaitu seorang kanak-kanak berusia lima tahun dan tiga budak berumur 10 tahun, yang duduk di bahagian belakang van selamat.

Mereka sempat menyelamatkan diri dengan bantuan orang ramai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tatau yang turut memadam kebakaran akibat renjatan elektrik itu.

Sementara itu, SEB dalam kenyataan memaklumkan bahawa tindakan mencuri kabel dipercayai punca kabel elektrik terjatuh.

“Siasatan awal menunjukkan kabel bumi dipotong, dipercayai dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab sehingga langkah keselamatan terjejas dan talian masih mempunyai tenaga (elektrik),” kata jurucakap SEB dalam satu kenyataan, hari ini.

Berita berkaitan

Dua beranak parah kena karan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 2:45 PM