GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuching: Seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik peti pencawang Sarawak Energy Berhad (SEB) di tepi jalan Kampung Muara Tebas di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani yang dihubungi hari ini berkata kejadian berlaku pada 10.51 malam dan sepasukan polis pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan bersama-sama pasukan Bomba dan Penyelamat serta wakil SEB.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati mayat lelaki itu berada di dalam peti pencawang elektrik dan sudah meninggal dunia. Mayat dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut dan kes disiasat sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR)," katanya.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memaklumkan mayat mangsa ditemukan orang awam yang bertindak menghubungi talian kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 10:36 AM