Mohammed Azman Aziz bertemu dengan pemilik perniagaan yang tidak mencarum PERKESO untuk pekerja dan mengeluarkan kompaun pada Operasi Pengesanan Majikan (Ops Kesan) Peringkat Kebangsaan 2024 sekitar Seksyen 9 di Bandar Baru Bangi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Mohammed Azman Aziz bertemu dengan pemilik perniagaan yang tidak mencarum PERKESO untuk pekerja dan mengeluarkan kompaun pada Operasi Pengesanan Majikan (Ops Kesan) Peringkat Kebangsaan 2024 sekitar Seksyen 9 di Bandar Baru Bangi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Sudirman Mohd Tahir


Bangi: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengeluarkan sebanyak 154 kompaun dalam Operasi Pengesanan Majikan (Ops Kesan) di seluruh negara, hari ini.

Setakat 1 tengah hari tadi, sebanyak 1,691 pemeriksaan dijalankan dengan pengeluaran Notis Kompaun Akta 4 dan Akta 800 berjumlah RM121,500.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Ops Kesan ke-15 diadakan selepas bulan pemutihan yang memperuntukkan peluang kepada majikan untuk mendaftar dan mencarum pekerja tanpa dikenakan sebarang penalti yang tamat pada 30 Jun lalu.

Menurutnya, seramai 15,540 majikan selain 262,011 pekerja baharu layak berdaftar dengan Perkeso mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

"Mengikut jumlah pekerja baharu yang didaftarkan, seramai 90,068 daripadanya adalah pekerja tempatan, manakala 171,943 pekerja asing.

"Perangkaan ini merekodkan peningkatan 30.5 peratus bagi jumlah majikan dan 32.6 peratus untuk jumlah pekerja berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Dari segi kadar purata, terdapat 7,081 pekerja dan 420 majikan berdaftar dengan Perkeso dalam tempoh 24 jam sepanjang bulan pemutihan dilancarkan tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Ops Kesan Peringkat Kebangsaan 2024 secara serentak di seluruh negara di Bandar Baru Bangi, di sini, hari ini.

Mohammed Azman berkata, semua majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja, tanpa mengira jumlah gaji, perlu mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka mengikut peruntukan Seksyen 4 dan Seksyen 5 (Akta 4) serta Seksyen 14 dan Seksyen 16 (Akta 800).

"Sepanjang pelaksanaan Ops Kesan sejak 2009 hingga Jun lalu, sebanyak 22,251 notis kompaun berjumlah RM17 juta dikeluarkan kepada majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja, manakala 24,500 kes sudah didakwa atas pelbagai kesalahan.

"Tiada kompromi daripada Perkeso apabila pemeriksaan dijalankan di premis majikan di mana kompaun akan terus dikeluarkan sekiranya mereka didapati melakukan kesalahan.

"Ops Kesan ke-15 akan dilaksanakan sepanjang tahun dan bukan secara bermusim kerana majikan sudah diberikan waktu secukupnya untuk melakukan pendaftaran perusahaan serta menunaikan hak pekerja," katanya.

Ops Kesan ke-15 yang dilancarkan hari ini membabitkan penugasan hampir 1,000 anggota di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 2:18 PM