GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Jakarta: Seorang lelaki berasal dari Sinar Bulan, Pangkalpinang, Kepulauan Bangka Belitung, Indonesia tidak serik keluar masuk penjara dengan hanya melakukan jenayah curi sahaja.

Dikenali Iman, 34, Kompas melaporkan banduan itu sudah sembilan kali dimasukkan ke penjara, bahkan rekod kesalahan menunjukkan lapan kali berturut-turut pada setiap tahun bermula 2009 hingga 2016.

Ketua Perhubungan Awam Polis Bangka Belitung, Komisioner Jojo Sutarjo berkata, suspek pada tahun pertama dituduh mencuri di bawah Pasal 362 Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP).

"Setahun kemudian dia dikenakan Pasal 363 KUHP (mencuri lebih berat), berturut-turut sehingga 2016," katanya dilapor pada Selasa.

Jojo berkata, suspek berhenti melakukan jenayah itu pada 2017 dan 2018, namun kembali 'beraksi' pada 2019 sebelum ditangkap serta disiasat mengikut Pasal 363.

Menurutnya, polis kembali menahan Iman pada 7 Julai lalu di Desa Batu Belubang, Bangka Tengah ketika dia sedang menjual motosikal hasil curi.

Katanya, siasatan mendapati Iman mencuri motosikal Honda Beat berwarna hitam bersama pembesar suara merk GMC di Jalan Dusun Kebintik, Kecamatan Pangkalan Baru.

"Dia melakukan jenayah itu sendirian. Modus operandinya adalah menyasarkan rumah tertentu sebelum masuk menerusi tingkap," kata Jojo.

Pembesar suara yang dicuri berjaya dijual pada harga Rp450,000 (RM130.33), selain dia pernah memecah masuk rumah penduduk dan melarikan sejumlah wang Rp2.6 juta (RM753.07).

Keterangan Gambar:

IS sering keluar masuk penjara atas kesalahan mencuri.FOTO Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 1:25 PM