DATUK Seri Takiyuddin Hassan (tiga dari kiri) melancarkan Program Sustainability Achieved Efficiency (SAVE) 3.0 hari ini. FOTO Samadi Ahmad
DATUK Seri Takiyuddin Hassan (tiga dari kiri) melancarkan Program Sustainability Achieved Efficiency (SAVE) 3.0 hari ini. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyenaraikan 1,100 kedai berdaftar untuk pembelian peralatan elektrik dalam bentuk e-rebat dalam Program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia kepada mangsa banjir yang terkesan di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bantuan pembelian peralatan elektrik RM500 dalam bentuk e-rebat ini bertujuan meringankan beban mangsa banjir menggantikan peralatan rosak bermula hari ini.

Menurutnya, sebanyak 15 peralatan elektrik domestik disenaraikan iaitu peti sejuk, mesin basuh, kipas, lampu, periuk nasi, televisyen, seterika, ketuhar elektrik, pengisar makanan, cerek elektrik, penyedut hampagas, dapur elektrik, ketuhar gelombang mikro, penyejuk beku dan penghawa dingin.

Menurutnya, pelaksanaan program ini menggunakan platform dan mekanisme penjimatan elektrik Sustainability Achieved via Energy Efficiency' (SAVE) yang diselaraskan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

"Bantuan khas ini hanya diberikan kepada warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pengguna dan akaun elektrik (domestik) dengan syarikat utiliti elektrik, rumah kediaman terkesan banjir dan tersenarai sebagai mangsa bencana yang disahkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

"Program ini hanya layak berdasarkan satu rebat untuk satu akaun bil elektrik yang terkesan bencana banjir disenaraikan kerajaan," katanya pada sidang media Program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia: Pembelian Peralatan Elektrik Domestik di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KeTSA, Datuk Zurina Pawanteh dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia), Datuk Hamzah Hussin.

Pembelian boleh dibuat secara fizikal di kedai dan pasar raya berdaftar atau di platform e-dagang yang diiktiraf seperti Shopee, Lazada serta PGMall.

Takiyuddin berkata, pemohon perlu mengemukakan tiga dokumen ketika membuat pembelian seperti kad pengenalan, nombor akaun bil elektrik domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan dokumen sokongan berkaitan mangsa banjir yang disahkan pihak berkuasa seperti polis, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan ketua komuniti.

Menurutnya, penyewa rumah juga layak memohon rebat ini dan perlu memaklumkan kepada pemilik rumah terlebih dahulu bagi mendapatkan kebenaran sebelum membuat permohonan.

"Jumlah kedai yang berdaftar ini akan ditambah dari semasa ke semasa bagi memudahkan mangsa banjir membeli barangan elektrik," katanya.

Keterangan lanjut berkenaan program e-rebat ini boleh dilayari melalui www.seda.gov.my/bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 12:39 PM