Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memberi rebat kepada pengguna terutama peniaga yang terjejas akibat bekalan elektrik terputus di beberapa negeri, Rabu lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata, terdapat kiraan dan syarat tertentu yang membolehkan pengguna akaun itu mendapat rebat yang disediakan.

Katanya, seramai 1 juta akaun yang mengalami gangguan bekalan elektrik pada hari berkenaan

"TNB akan menyediakan rebat kepada mereka yang terkesan. Pengguna akaun yang terkesan untuk tempoh tertentu seperti peniaga besar contohnya KLCC (Kuala Lumpur City Centre), boleh membuat tuntutan dengan menyatakan jumlah kerugian yang dialami.

"Bagaimanapun, maklumat terperinci berhubung perkara ini akan dibentangkan di Parlimen pada 4 Ogos nanti," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan Pas Parlimen Kota Bharu, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Takiyuddin turut memuji tindakan pantas TNB apabila berjaya memulihkan bekalan elektrik dalam tempoh dua jam 21 minit bermula 12.39 tengah hari.

Katanya, gangguan bekalan elektrik berkenaan berpunca daripada kerosakan satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng Utara di Yong Peng, Johor.

"Disebabkan masalah yang berlaku dan perlu menjaga kestabilan tenaga, kita terpaksa mencatu kawasan tertentu yang tidak kritikal dan memastikan hospital, lapangan terbang dan Parlimen yang bersidang ketika itu tidak mengalami gangguan (bekalan) elektrik," katanya.

Media sebelum ini melaporkan beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia mengalami gangguan bekalan elektrik sejak 12.39 tengah hari membabitkan 2.2GW iaitu 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan.

TNB dalam kenyataan dilaporkan berkata, antara kawasan terbabit adalah di Petaling Jaya, Cheras, Bangi, Bayan Lepas, Seberang Jaya, Panchor dan Bandar Indera Mahkota.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 12:35 PM
Takiyuddin (tengah) ketika hadir  pada Majlis Mesyuarat Agung Tahunan PAS Parlimen Kota Bharu di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Takiyuddin (tengah) ketika hadir pada Majlis Mesyuarat Agung Tahunan PAS Parlimen Kota Bharu di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR