RUMAH sementara yang dibina kerajaan untuk mangsa banjir puing di Desa KEDA Kampung Sadek, Kupang. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
RUMAH sementara yang dibina kerajaan untuk mangsa banjir puing di Desa KEDA Kampung Sadek, Kupang. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
ISMAIL Sabri berbual dengan penduduk Kampung Iboi, Kupang yang terkesan banjir.
ISMAIL Sabri berbual dengan penduduk Kampung Iboi, Kupang yang terkesan banjir.
Noorazura Abdul Rahman


Baling: Kejadian banjir puing pada 4 Julai lalu, ternyata meninggalkan kesan trauma kepada penduduk Baling sehingga ada yang menganggapnya umpama tsunami kecil.

Dalam kejadian itu, 17 rumah musnah sekelip mata selain turut mengorbankan tiga nyawa termasuk wanita hamil empat bulan.

Bagaimanapun, keadaan itu semakin terubat sedikit demi sedikit selepas mereka menerima pelbagai bantuan kerajaan termasuk bantuan rumah baharu bagi mereka yang kehilangan kediaman.

Bagi Azlina Abdullah, 49, dia bersyukur menjadi antara keluarga terawal yang bakal menerima rumah sementara sumbangan kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Menurutnya, dia akan berpindah ke Desa KEDA Kampung Sadek pada minggu depan selepas dimaklumkan pada Ahad lalu.

"Berderai air mata saya apabila dihubungi pihak Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bahawa saya dapat berpindah ke rumah baharu yang dibina Kerajaan Persekutuan," katanya.

Menurutnya, dia dan suami, Othman Ismail, 48, tidak mampu bina rumah baharu selepas rumah mereka lenyap dihanyutkan banjir puing pada 4 Julai lalu.

Katanya, suaminya hanya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan tidak sampai RM1,000 sebulan.

"Sehingga kini kami masih tidak dapat melupakan bencana itu berikutan nyawa kami sekeluarga bagaikan telur di hujung tanduk ketika kejadian, bagaimanapun hari ini kami bersyukur kerana kerajaan prihatin dengan nasib kami dan tidak putus memberi bantuan," katanya di Kampung Iboi di sini.

Ibu kepada lima anak ini berkata, dalam kejadian itu mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dan kini menyewa rumah di kampung berkenaan.

"Alhamdulillah kami dapat berpindah lebih awal selepas rumah yang dibina KEDA, siap lebih awal," katanya.

Bagi mangsa banjir puing di Kampung Empang di sini, Zulkifli Md Nor, 60, dia sangat bersyukur kerana menerima bantuan baik pulih rumah daripada KPLB.

Menurutnya, rumahnya siap dibaik pulih pada awal bulan ini selepas beberapa bahagian rumahnya itu retak dan rosak akibat dihentam banjir puing.

"Bahagian tiang pada dinding rumah saya retak termasuk tiga pintu rumah saya juga rosak, saya hanya menoreh getah dengan pendapatan tidak menentu tambahan pula sekarang musim hujan, sukar untuk saya untuk cari duit baiki rumah.

"Alhamdulillah kerajaan bertindak segera untuk membantu penduduk yang terkesan, jika tidak di baiki segera mungkin lebih banyak bahagian rumah saya akan bertambah retak dan rosak," kata bapa kepada empat anak itu.

Ibu kepada 10 anak, Noraini Che Mi, 44, dari Kampung Bukit Iboi di sini, pula berkata, dia lega kerana Kerajaan Persekutuan memberi pelbagai bantuan selepas rumahnya rosak akibat bencana itu.

"Saya menerima bantuan baik pulih rumah dan wang tunai RM3,500 daripada Kerajaan Persekutuan.

"Selain itu, saya juga menerima bantuan rebat barangan elektrik atau perabot sebanyak RM500 di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

"Saya Pembantu Perawat Kesihatan (PPK), suami saya pula tidak dapat bekerja kerana pelbagai masalah kesihatan, dengan bantuan ini kami dapat bangkit kembali meneruskan kehidupan seperti biasa," katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Kupang, Badrol Hisham Che Li berkata, sebanyak 34 rumah mangsa banjir puing yang rosak di mukim itu menerima bantuan baik pulih oleh Kerajaan Persekutuan di dengan nilai sebanyak RM15,000 bagi setiap rumah.

Katanya, setiap rumah yang rosak mula dibaik pulih pada awal Oktober lalu secara berperingkat.

"Selain itu, seramai 1,012 keluarga yang terjejas akibat banjir puing menerima bantuan rebat barangan elektrik sebanyak RM500," katanya.

Pada 5 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kerajaan akan menyegerakan bantuan awal kepada mangsa banjir kilat di Lembangan Sungai Kupang dan Sungai Tiak, Baling, Kedah yang menjejaskan 1,490 mangsa membabitkan 112 ketua isi rumah (KIR).

Beliau memaklumkan, bantuan awal kepada setiap KIR adalah bantuan wang ihsan (BWI) sebanyak RM1,000; bantuan barang keperluan asas (RM2,500), bantuan barangan elektrik (RM500) dan pembaikan rumah.

Pada 1 September lalu, beliau mengarahkan segala kerja baik pulih dan pembinaan semula infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir lumpur serta aliran puing di Kampung Iboi disiapkan segera demi kesejahteraan rakyat.

Tegaskan ketika meninjau lokasi ketika itu, kerajaan akan memastikan semua janji yang diumumkan sebelum ini, dilaksana terutama yang membabitkan pembinaan semula rumah mangsa banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 6:46 AM