Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Setiap keluarga yang terjejas akibat banjir di Terengganu dan Kelantan akan menerima bantuan sehingga RM10,000.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika lawatannya ke negeri terjejas banjir di Pantai Timur di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Batu 23 di sini hari ini.

Menurutnya, bayaran itu meliputi sumbangan pembelian barangan keperluan berjumlah RM2,500, diskaun baik pulih kenderaan, rebat pembelian barangan elektrik RM500 dan bantuan baik pulih rumah bagi kerosakan akibat bencana itu.

"Apa yang kita sudah bagi dulu untuk gelombang pertama di Terengganu, Kelantan, kita akan bagi sama.

"Maksudnya, sama saja RM1,000, bantuan wang ihsan, RM2,500 untuk membeli barangan keperluan rumah dan baik pulih rumah, beli barangan elektrik, baiki kenderaan yang saya umum dulu.

ISMAIL Sabri diiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melambaikan tangan pada program lawatan di PPS Batu 23, Kuala Berang. FOTO Ghazali Kori
ISMAIL Sabri diiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melambaikan tangan pada program lawatan di PPS Batu 23, Kuala Berang. FOTO Ghazali Kori

"(Bantuan) sama saja diperolehi (dan) kalau campur semua, dianggarkan hampir RM10,000 setiap keluarga," katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri tiba di PPS berkenaan jam 2.15 petang dan meluangkan masa hampir 30 minit dengan mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan sejak Ahad lalu.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kit bantuan bencana kepada mangsa yang terjejas.

Ketika ini, terdapat seramai 272 mangsa daripada 76 keluarga berada di PPS berkenaan.

Menerusi banjir gelombang kelima bermula Jumaat lalu, lebih 17,000 mangsa di seluruh Terengganu terjejas dengan Kemaman merekodkan jumlah mangsa teramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 3:50 PM