GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seramai 9.44 juta pemilik akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menikmati rebat elektrik sebanyak dua sen kilowatt per jam (kWj) bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember depan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan bersetuju membiayai pemberian rebat tambahan sebanyak 0.87 sen kWj membabitkan peruntukan sebanyak RM493 juta melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

"Pemberian rebat tambahan ini membolehkan semua pemilik akaun TNB menikmati purata diskaun sebanyak lima peratus bagi tempoh itu.

"Selaras dengan pelaksanaan mekanisme penetapan tarif elektrik di Semenanjung yang dilaksanakan sejak 2014, pelarasan kos penjanaan elektrik perlu dilaksanakan setiap enam bulan melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT)," katanya menerusi sidang media secara maya hari ini.

Katanya, bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021, kos ICPT yang perlu diselaraskan berjumlah RM638.98 juta.

"Ini bermakna kadar rebat elektrik yang boleh dilepaskan kepada pengguna ialah sebanyak 1.13 sen/kWj berbanding kadar rebat bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 iaitu dua sen/kWj.

"Peningkatan kos ICPT berlaku berikutan peningkatan kos pembekalan gas dan arang batu bagi tempoh Januari hingga Jun 2021," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, dengan mengambil kira cabaran dan kesukaran yang dihadapi rakyat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, kerajaan bersetuju untuk membiayai pemberian rebat tambahan sebanyak 0.87 sen/kWj itu.

"Selain itu, pengguna di Kulim High Technology Park (KHTP) yang mendapat bekalan elektrik daripada NUR Power Sdn Bhd, kerajaan juga bersetuju untuk memberi rebat elektrik sebanyak dua sen/kWj kepada pengguna bukan domestik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021. "Ini adalah kali pertama pengguna bukan domestik di KHTP menikmati rebat elektrik sejak mekanisme penetapan tarif kawal selia berasaskan insentif (IBR) dilaksanakan pada 2017.

"Pemberian rebat ini dilaksanakan berikutan berlakunya penurunan harga bahan api gas dan bekalan elektrik pukal TNB pada separuh tahun pertama 2021 serta penjimatan daripada pelarasan kos sebenar bahan api bagi tempoh Julai hingga Disember tahun lalu," katanya.

Menurutnya, selain pembiayaan rebat tambahan ini, kerajaan bersetuju untuk memberi diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna domestik dan bukan domestik bagi tempoh Julai hingga September 2021 untuk Semenanjung dan Sabah.

"Perkara ini akan diumumkan oleh Perdana Menteri. Justeru apa yang saya umumkan hari ini berbeza berbanding diskaun.

"Namun penting kerana kerajaan bersetuju membelanjakan RM493 juta supaya tidak berlaku kenaikan tarif elektrik dan mengekalkan sebagaimana sekarang," katanya.

Menurutnya, selain itu, KeTSA juga ingin memaklumkan golongan miskin tegar dengan pendapatan RM1,169 ke bawah yang berdaftar dalam Sistem e-Kasih adalah layak mendapat rebat bil elektrik RM40.

"Sehingga Mei 2021, jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak ialah 282,182 orang.

"Bagaimanapun, hanya 113,745 iaitu 40.31 peratus daripada KIR yang layak mengemas kini nombor akaun bil elektrik mereka.

"Oleh itu, saya menyeru supaya mereka yang layak untuk mengemas kini nombor akaun dengan pihak utiliti bagi membolehkan mereka menikmati rebat bil elektrik berkenaan," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 10:53 AM