GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) belum bersedia memberikan pengecualian bayaran bil air kepada mangsa banjir di negeri ini berikutan syarikat itu turut terkesan dengan bencana sama.

Menteri Besar yang juga Pengerusi SAINS, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata, banyak kemudahan SAINS termasuk Loji Rawatan Air (LRA) dan pam mengalami kerosakan selepas banjir menenggelamkan beberapa peralatan.

"Kerugian akibat kerosakan peralatan SAINS juga tinggi. Jika di Jelebu dan Pantai Seremban, pam rosak dan tidak boleh digunakan . Sehingga ke hari ini, ia masih tidak boleh beroperasi.

"LRA Kepis di Kuala Pilah juga dilaporkan tenggelam manakala LRA Kemin sehingga kini masih tidak boleh beroperasi 100 peratus kerana berlaku kerosakan pada peralatan. Kerja pembersihan loji juga memerlukan kos dan terpaksa mengambil masa.

"Saya berharap masyarakat dapat memahami beban yang ditanggung oleh pihak SAINS, tambahan pula kerajaan negeri sudah menyalurkan bantuan RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah mangsa banjir," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri di sini, tadi.

Aminuddin berkata, pihaknya yakin dan percaya bantuan RM1,000 yang diberikan itu dapat membantu setiap mangsa banjir untuk bergerak dan menyelesaikan bil air.

"Negeri Sembilan, negeri yang paling awal menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir dan saya rasa tiada masalah bagi mereka (membayar bil air)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 5:28 PM