AMINUDDIN (kanan) pada sidang media bagi mengumumkan bantuan kepada mangsa banjir di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
AMINUDDIN (kanan) pada sidang media bagi mengumumkan bantuan kepada mangsa banjir di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

Seremban: Kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta bagi membantu mangsa banjir di Negeri Sembilan dengan RM3 juta daripadanya untuk diagihkan kepada setiap keluarga manakala RM1 juta lagi bagi membaiki infrastruktur yang rosak.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pada masa sama, setiap ketua keluarga yang terjejas akan menerima bantuan tunai RM1,000 minggu depan.

Kata beliau, setakat ini, kerajaan negeri sudah mengenal-pasti 3,000 keluarga dari enam daerah yang terbabit dengan banjir.

"Setakat ini, dianggarkan 3,000 keluarga terjejas namun senarai penuh mereka yang terkesan akan dikemaskini sebaik menerima laporan daripada pegawai daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah.

"Kita sedia maklum, banyak kediaman penduduk yang rosak dan harta benda musnah, namun kerajaan akan meneliti secara terperinci nilai kerosakan dan bentuk bantuan lain yang sesuai sebaik mendapat laporan daripada pegawai daerah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bantuan mangsa banjir di kediaman rasmi menteri besar di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Razali Ab Malek.

Beliau berkata, taburan hujan sehingga hampir 200 mililiter menyebabkan banjir kilat terutama di kawasan rendah.

"Air yang melimpah dari kawasan Banjaran Titiwangsa mengakibatkan banyak kejadian tanah runtuh, kerosakan pada kediaman penduduk selain menjejaskan Loji Rawatan Air (LRA).

"Kerajaan negeri akan berusaha membantu membaiki infrastruktur yang rosak termasuk di LRA dan memulihkan secepat mungkin bekalan air di kawasan yang terjejas," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berterima kasih kepada pelbagai pihak yang membantu menjayakan misi bantuan mangsa banjir termasuk sektor korporat sama ada dalam bentuk kewangan mahupun barangan keperluan harian dan peralatan.

Mengenai ulasan netizen di laman sosial, beliau menafikan pasukan penyelamat lewat memberikan bantuan sebaliknya mereka menghadapi kesukaran daripada segi keanggotaan selain terlalu banyak kawasan yang terjejas.

"Anggota pasukan penyelamat dan kakitangan kerajaan juga ada yang menjadi mangsa banjir, mereka juga perlu mengutamakan keselamatan diri kerana air banjir cukup deras.

"Anggota keluarga perlu bekerjasama membantu keluarga masing-masing. Namun saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan mangsa banjir dan menghulurkan bantuan sekadar terdaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 2:13 PM