GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Semua loji rawatan air (LRA) di Sabah berdepan masalah kerosakan pam yang menjadi antara punca gangguan bekalan air yang sering dialami pengguna.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerosakan pam kebanyakannya disebabkan sampah, timbunan pasir atau lumpur yang dibawa arus sungai.

Katanya, lebih parah pembaikan pam yang rosak memakan masa kerana perlu menunggu pam baharu atau alat ganti dari luar negara.

"Di seluruh Sabah, pam air selalu rosak sebab ia tersedut pasir, sampah dan bermacam lagi. Kalau rosak, ia bukan seperti mesin lain boleh dibawa ke bengkel untuk dibaiki.

"Kita kena tempah dari luar negara, kena 'hand made', jadi ia mengambil masa yang lama sebelum pam di sesuatu LRA dapat dipulihkan," katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri menjawab soalan tambahan Calvin Chong Ket Kiun (DAP - Elopura) mengenai gangguan bekalan air di Sandakan.

Bung Moktar berkata, sebagai penyelesaian kepada masalah itu, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sudah diarah supaya menyediakan pam tunggu sedia di semua LRA untuk kegunaan kecemasan jika berlaku kerosakan terhadap pam air sedia ada.

"Kita mesti ada pam 'standby' (tunggu sedia) untuk dioperasikan sementara menunggu pam yang rosak selesai dibaiki supaya gangguan bekalan air dapat dikurangkan," katanya.

Tambahnya, isu gangguan bekalan air bukan saja berlaku di Sandakan, malah di seluruh negeri, kebanyakannya disebabkan masalah pam rosak.

Ketika ini sebanyak 84 LRA beroperasi di seluruh Sabah dengan kebanyakannya dikendalikan JANS, selain sebahagian oleh syarikat konsesi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 1:41 PM