KAKITANGAN Yayasan Pelajaran Mara bergotong-royong membersihkan rumah penduduk di Kampung Bukit Changgang, baru-baru ini. FOTO Bernama
KAKITANGAN Yayasan Pelajaran Mara bergotong-royong membersihkan rumah penduduk di Kampung Bukit Changgang, baru-baru ini. FOTO Bernama
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Penduduk sekitar Bukit Changgang di Kuala Langat yang terkesan akibat banjir bulan lalu lebih berwaspada dan sentiasa bersiap sedia kali ini apabila hujan lebat berterusan.

Menurut Mohd Syazli Mahmud, 44 tahun, dia sedia maklum berlaku kenaikan paras air Sungai Langat di Bukit Changgang pagi tadi namun berharap tidak berlaku banjir seperti sebelum ini.

"Tadi saya dapat maklum ada ban pecah di RTB Bukit Changgang, air mula masuk ke kawasan kampung 10 pagi tadi, itu juga kebimbangan kami di sini tapi difahamkan pihak berkuasa sudah menguruskannya.

"Kami di sini sudah bersedia, keutamaan kami selamatkan dokumen dan barang penting terlebih dahulu. Realitinya penduduk di sini menjadi fobia apabila hujan dan air pasang besar, sebab kami risau (banjir)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Seorang lagi mangsa banjir di Bukit Changgang, Nur Aliaa Mat Salim, 29, berkata, walaupun sudah bersedia berdepan dengan apa juga kemungkinan, dia tetap berdoa agar kejadian banjir ini tidak berulang.

"Penat kemas rumah pun belum hilang malah belum selesai kemas sepenuhnya, saya usaha buat persediaan setakat mampu sebab semua perabot musnah.

"Kami buntu hendak simpan di mana, jadi semua barang dibungkus siap dalam plastik hitam dan diletak di atas katil besi yang ada.

"Barang elektrik kami cuba letak di tempat tinggi, banyak yang belum dapat dihidupkan. Itu sahaja usaha yang mampu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagi Hanafi Mohamed, 53 tahun seorang kakitangan swasta pula, dia sekeluarga mula risau setiap kali hujan selepas kejadian banjir itu.

"Kami simpan semua barang-barang dalam kotak plastik dan balut sebaik mungkin, selain bersiap sedia dengan dokumen penting tetapi kami berharap tiada lagi kejadian banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 6:25 PM