Shah Alam: Hanya dua pusat pemindahan masih dibuka untuk menempatkan mangsa banjir di daerah Kuala Langat, sehingga petang kelmarin, dengan jumlah mangsa 43 orang membabitkan 10 keluarga.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting Penolong Penguasa Bomba Mohd Jaslizad Jalil berkata, dua pusat pemindahan yang masih dibuka itu ialah di Balai Raya Bukit Serdang dan Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia (SKRTB), Bukit Changgang, Banting.

“Tiga pusat pemindahan sudah ditutup dan mangsa yang tinggal di kawasan terbabit dengan banjir sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, pusat pemindahan yang tidak lagi beroperasi ialah di Dewan Perpaduan Genting Sanyen, Shah Alam; Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tadom, Banting dan Dewan Orang Ramai Bukit Changgang, Banting.

“Kebanyakan pusat pemindahan ini dibuka sejak sembilan hari lalu berikutan berlaku banjir di beberapa kawasan di daerah ini,” katanya.

Selain itu, tinjauan di laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor mendapati bacaan paras sungai utama di sekitar Kuala Langat menunjukkan kebanyakannya berada di bawah paras normal berikutan jumlah taburan hujan yang mencatatkan penurunan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 7:14 AM