MOHAMMAD Mentek membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Labohan Dagang. FOTO Bernama
MOHAMMAD Mentek membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Labohan Dagang. FOTO Bernama
BERNAMA

Sepang: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menjadikan tiga lokasi di Kuala Langat, Selangor sebagai kawasan angkat bagi menjalankan gerak kerja pascabanjir termasuk melalui operasi Bantu Hingga Selesai (BAHIS).

Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, tiga lokasi berkenaan ialah Kampung Bukit Changgang, Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang dan Kampung Labohan Dagang.

Bagaimanapun, beliau berkata, KKMM turut membantu kawasan Taman Sri Muda di Shah Alam dan Kampung Sungai Lui di Hulu Langat melalui BAHIS.

"Kawasan angkat KKMM ini sama seperti yang dipertanggungjawabkan untuk semua kementerian dalam misi usaha kerajaan membantu mangsa banjir.

"Hari ini sahaja kita (KKMM) sasar untuk membersihkan 70 rumah di sekitar kawasan Bukit Changgang," katanya kepada pemberita selepas membersihkan rumah petugas KKMM, Zaity Aznura Deris yang terjejas akibat banjir di Kampung Labohan Dagang di sini hari ini.

Mohammad berkata, sukarelawan pada hari kedua BAHIS di Bukit Changgang telah meningkat tiga kali ganda iaitu lebih 600 sukarelawan yang terdiri daripada petugas KKMM, agensi kementerian itu, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat telekomunikasi.

Menurutnya, BAHIS di Bukit Changgang turut melibatkan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Beliau berkata bagi keseluruhan BAHIS, KKMM menyasarkan untuk membersihkan 300 rumah iaitu 100 rumah masing-masing di Bukit Changgang, Taman Sri Muda dan Kampung Sungai Lui selama lima hari berturut-turut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lebih 1,000 sukarelawan terlibat termasuk dirinya, pengurusan tertinggi KKMM, ketua pengarah jabatan dan agensi KKMM pada hari ini di ketiga-tiga kawasan sasaran BAHIS.

Turut menyertai operasi BAHIS di Bukit Changgang ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama Datuk Mokhtar Hussain, Ketua Pengarah Penerangan Datuk Mohd Sukari Ab Hamid, Ketua Pengarang Bernama Khairdzir Md Yunus, Timbalan Ketua Pengarang (Perniagaan dan Kewangan) Roslan Ariffin, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Antarabangsa) Jamaluddin Muhammad dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Harlina Samson.

BAHIS merupakan program anjuran KKMM bagi membersihkan kediaman mangsa banjir sekitar Lembah Klang selama lima hari berturut-turut mulai semalam.

Ia merupakan cetusan idea Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 4:19 PM