NORAINI bersama pasukannya meninjau lokasi punca air di kawasan pentadbiran MPK. FOTO Ihsan MPK
NORAINI bersama pasukannya meninjau lokasi punca air di kawasan pentadbiran MPK. FOTO Ihsan MPK
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor sudah bersedia menghadapi situasi bencana berikutan keadaan cuaca tidak menentu beberapa minggu kebelakangan ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata, Unit PANTAS Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sentiasa dibuka 24 jam untuk melakukan pemantauan terutamanya waktu hujan.

"MBSA juga sentiasa memberi peringatan kepada penduduk Shah Alam dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi MBSA di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

"Kita juga sentiasa berhubung dengan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) malah sentiasa 'alert' sebarang makluman dan menyelaraskannya dengan jabatan lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Selain Taman Sri Muda, antara lokasi yang menjadi fokus MBSA adalah Seksyen 13, Taman Mesra serta Sungai Buloh terutamanya Paya Jaras," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Datuk Amirul Azizan Abd Rahim pula mengakui Kuala Langat antara kawasan terjejas teruk akibat banjir pada Disember tahun lalu terutama di kawasan Bukit Changgang.

Katanya, Skuad PANTAS MPKL sentiasa cakna dengan cuaca tidak menentu sekarang terutamanya situasi banjir kilat.

"Susulan pasca banjir lalu, kita sedang memperkemas dan meningkatkan kekuatan pasukan dengan tambahan aset seperti bot penyelamat.

"Pemantauan berkala dilaksanakan dengan penyelarasan bersama pasukan bencana daerah yang dipengerusikan oleh pegawai daerah, juga JPS malah MPKL sentiasa 'alert' dengan perkongsian maklumat bersama pihak berkaitan menerusi aplikasi 'WhatsApp'.

"Kawasan rekreasi seperti Pantai Morib, Pantai Kelanang, Pantai Chunang, Pantai Batu Laut, Jeti Tanjung Sepat sentiasa dipantau bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) turut melaksanakan kesiapsiagaan sama dengan meningkatkan pemantauan ke semua lokasi punca air di kawasan kritikal.

YDPnya, Noraini Roslan berkata, ia bagi memastikan saluran air tidak terhalang.

"MPK akan menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) untuk menjalankan pemantauan banjir dalam talian sepanjang masa, manakala Unit Respons PANTAS akan bersiap sedia semasa hujan bagi memantau dan memberi bantuan semasa banjir kilat terutama kawasan rendah.

"Kami faham banjir kilat berlaku apabila hujan dalam masa singkat dan lebat tidak dapat dibawa oleh sistem perparitan atau melalui tanah dengan cepat.

"Jadi, kita perlu menguruskan banjir dengan lebih baik termasuk memeriksa kapasiti kolam tadahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 3:41 PM