Zatul Iffah Zolkiply

Dungun: Lima beranak termasuk bayi lelaki berusia empat bulan sekali lagi menjadi penghuni pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka di Kampung Shukor dinaiki air, semalam.

Nur Ashiqin Zulkhanain, 29, bersama suami dan tiga anaknya berusia empat bulan hingga lapan tahun kembali ke PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Shukor selepas 12 hari pulang ke rumah mereka.

Mereka sebelum ini ditempatkan ke PPS sama apabila kawasan rumah dinaiki air ketika banjir gelombang kedua pada 18 Disember lalu sebelum pulang ke rumah dua hari kemudian.

Menurut Nur Ashiqin, dia bersama keluarganya mengambil keputusan berpindah ke PPS pada 3.30 petang semalam selepas air mula memenuhi perkarangan rumah mereka sejak pagi.

"Hujan berterusan bermula malam kelmarin (Rabu), tetapi kami tak berpindah lagi kerana keadaan masih terkawal dan barang-barang penting juga sudah disimpan di tempat tinggi.

"Namun apabila bangun pagi semalam, saya tengok air mula memenuhi kawasan rumah dan mula rasa tak sedap hati kerana air naik dengan cepat selain masih hujan.

"Melihat keadaan itu, kami berpindah awal sebab tidak mahu situasi yang berlaku pada 18 Disember lalu berulang apabila kami terpaksa meminjam bot penduduk kerana air terlalu dalam dan berisiko untuk tiga anak," katanya ketika ditemui di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukor, di sini, hari ini.

Menurutnya, banjir yang melanda pada 18 Disember lalu menyebabkan dia bersama suami, Tengku Amir Hamzah Tengku Ishak, 29, meminjam bot untuk keluar dari kawasan rumahnya yang ketika itu dinaiki air hampir 1.5 meter.

"Sebab itu (banjir) kali ini kami keluar awal sebab tidak mahu kejadian sama berlaku walaupun ketika kami keluar air sudah mencecah paras hampir satu meter.

"Saya bimbang sebab tiga anak masih kecil terutama anak bongsu, Tengku Putra Sulaiman yang masih kecil.

"Jika diikutkan memang sudah lali dan biasanya kami akan memang akan ke sini beberapa kali setiap kali musim tengkujuh," katanya.

Nur Ashiqin  bersama anak bongsunya, Tengku Putra Sulaiman berusia empat bulan ketika ditemui di pusat pemindahan sementara Dewan Orang Ramai Kampung Shukor. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Nur Ashiqin bersama anak bongsunya, Tengku Putra Sulaiman berusia empat bulan ketika ditemui di pusat pemindahan sementara Dewan Orang Ramai Kampung Shukor. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 5:11 PM
NUR Ashiqin  bersama anak bongsunya, Tengku Putra Sulaiman berusia empat bulan ketika ditemui di pusat pemindahan sementara Dewan Orang Ramai Kampung Shukor. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
NUR Ashiqin bersama anak bongsunya, Tengku Putra Sulaiman berusia empat bulan ketika ditemui di pusat pemindahan sementara Dewan Orang Ramai Kampung Shukor. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY