Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Pernah berdepan pengalaman rumah dinaiki air melebihi dua meter pada waktu awal pagi menyebabkan tidur lima beranak di Kampung Tanjung Bukit Mentok, di sini, tidak lena setiap kali musim tengkujuh bertandang.

Menyifatkan kejadian itu banjir terburuk dialaminya sejak lebih 40 tahun tinggal di kampung berkenaan, Adnan Kamaruddin, 41, sentiasa berjaga-jaga terutama apabila hujan berlaku pada tengah malam dan awal pagi.

Adnan yang juga seorang peniaga berkata, kawasan rumahnya antara yang terawal dinaiki air memandangkan kedudukannya yang terletak berhampiran sungai.

Katanya, air akan naik dengan cepat sekiranya hujan lebat berterusan dalam tempoh dua hari selain bertembung dengan air pasang.

"Memang selalu berjaga-jaga kerana kampung ini selalu banjir dan kami sekeluarga memang mula berkemas dan berjaga-jaga sekiranya hujan lebat berterusan.

KEADAAN kawasan rumah Adnan di Kampung Tanjung Bukit Mentok yang sering dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
KEADAAN kawasan rumah Adnan di Kampung Tanjung Bukit Mentok yang sering dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

"Apabila air sudah naik sehingga 0.5 meter, kami akan keluar dari rumah menaiki bot yang dibeli sejak 12 tahun lalu ke jalan besar sementara menunggu pihak berkuasa untuk dibawa ke PPS (pusat pemindahan sementara).

"Boleh dikatakan PPS menjadi rumah kedua kami kerana setiap tahun kami akan menjadi penghuni PPS sehingga pernah tiga kali berulang-alik ke PPS pada tahun yang sama," kata bapa kepada tiga anak berusia antara 10 bulan hingga lapan tahun.

Menurut Adnan, dia bersama keluarganya sudah membuat persiapan seawal November lalu dan mengambil langkah berjaga-jaga.

"Macam banjir yang berlaku pada petang Sabtu lalu, kami tidak berpindah ke PPS walaupun air sudah memenuhi kawasan sekitar rumah memandangkan air cepat surut selain hujan masih terkawal.

"Bagaimanapun, rasa bimbang tetap ada sebab kita tahu musim tengkujuh ini panjang lagi apatah lagi mengenangkan anak-anak yang masih kecil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 2:26 PM