Zatul Iffah Zolkiply


Setiu: Kelegaan lapan beranak di Kampung Buloh, di sini, yang menyangka musim tengkujuh sudah berakhir hanya sementara apabila kediaman mereka dinaiki air sejak semalam.

Kawasan rumah didiami Mohd Khairul Anuar Abd Rahaman, 43, bersama isteri dan enam anak berusia empat hingga 18 tahun itu ditenggelami air setinggi 0.3 meter.

Mohd Khairul Anuar berkata, hujan yang melanda sejak kelmarin menyebabkan kawasan rumahnya dinaiki air bermula 7 malam semalam.

"Sebelum ini cuaca panas dan ingatkan tak naik air (banjir) apatah lagi sudah tiga tahun kawasan rumah tidak dinaiki air, tetapi tak sangka banjir berlaku pada penghujung Februari.

"Biasanya air jarang naik pada bulan ini dan memang terkejut menyebabkan kami segera berkemas dengan menyimpan barang-barang dan dokumen penting kerana bimbang banjir semakin buruk.

"Kalau ikutkan sekarang, air semakin tinggi kerana masih hujan dan situasi ini memang membimbangkan saya yang mempunyai anak kecil," katanya yang sudah lapan tahun tinggal di kampung berkenaan.

MOHD Khairul tidak menyangka kawasan rumahnya di Kampung Buloh dinaiki air. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MOHD Khairul tidak menyangka kawasan rumahnya di Kampung Buloh dinaiki air. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Bapa kepada enam itu turut memaklumkan kali terakhir kawasan rumahnya dinaiki air pada 2019 sehingga menyebabkan mereka berpindah ke pusat pemindahan sementara.

"Memang sudah lama kawasan rumah tidak dinaiki air, malah ketika banjir pada hujung tahun lalu dan awal tahun, kawasan rumah saya masih selamat.

"Saya hanya menunggu arahan daripada pihak berkuasa dan akan segera berpindah jika keadaan semakin buruk.

"Melihat keadaan cuaca ketika ini, kami sekeluarga tidak tidur lena kerana bimbang air semakin tinggi terutama pada waktu malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 4:16 PM