Zatul Iffah Zolkiply


Dungun: Banjir besar yang melanda Selangor pada 18 Disember tahun lalu mengingatkan penduduk di Kampung Shukor, di sini, dengan bencana sama yang berlaku pada 2014.

Rata-rata penduduk tidak mampu melupakan detik hitam itu apabila kediaman mereka dinaiki air dengan pantas, sekali gus bersiap sedia berpindah apabila kawasan kediaman mula dinaiki air.

Malah, pengalaman sama membuatkan mereka menghargai pasukan penyelamat yang sentiasa bertungkus-lumus membantu.

Penduduk Jalina Abdullah,40, berkata dia bersama suami dan lima anaknya akan berpindah awal apabila hujan berterusan dan air mula melimpah ke kawasan sekolah.

Katanya, pengalaman banjir besar pada 2014 menjadi pengajaran kepada penduduk kampung berkenaan supaya berpindah ke kawasan selamat.

"Bila tengok air melimpah ke sekolah, kita akan bertindak pantas dengan menghubungi pasukan penyelamat seperti bomba untuk mereka hantar trak bagi memindahkan warga emas, OKU (orang kurang upaya) dan kanak-kanak.

Anggota penyelamat ketika membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Shukor ketika banjir melanda kampung berkenaan. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Anggota penyelamat ketika membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Shukor ketika banjir melanda kampung berkenaan. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

"Kita memang akan pindah awal sebab simpati melihat agensi penyelamat seperti bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia), APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), polis (Polis Diraja Malaysia) dan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) yang bertungkus-lumus memindahkan kami.

"Jadi kami belajar daripada situ dengan berpindah awal bagi memudahkan pasukan penyelamat," katanya ketika ditemui di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukor, di sini, hari ini.

Katanya, penduduk kampung akur dengan arahan pihak berkuasa setiap kali musim tengkujuh tiba termasuk arahan berpindah awal kerana tidak mahu menyusahkan mereka.

"Kita hargai bantuan mereka yang biasanya akan memantau keadaan kami apabila memasuki musim tengkujuh sehingga berakhir bencana ini.

"Jadi apabila ada pihak yang mempertikaikan tugas-tugas mereka, saya memang sedih sebab kita tahu bagaimana mereka melakukan kerja.

"Mereka ini ada keluarga tetapi bergadai nyawa menyelamatkan kita, jadi tak patut apabila ada pihak merendah-rendahkan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 2:52 PM