Aizat Sharif


Kangar: Misi Kemanusiaan dan Prihatin Perlis yang diilhamkan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berjaya mengumpulkan pelbagai sumbangan bernilai lebih RM500,000 dalam masa dua hari untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Menurut Azlan, sumbangan akan digunakan untuk membantu mangsa banjir besar di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.

"Koordinasi Misi Kemanusiaan dan Prihatin Perlis ini saya mulakan menerusi media sosial seperti Facebook dua hari lalu mengajak orang ramai di negeri ini bersama-sama membantu mangsa banjir di negeri terjejas itu.

"Saya pada mulanya menjangkakan setidak-tidaknya sumbangan sekitar RM300,000 namun setakat ini saya difahamkan ia sudah pun melebihi setengah juta ringgit malah ada penyumbang juga dengan sendiri 'turun' ke Selangor untuk membantu sendiri mangsa banjir di sana," katanya kepada pemberita di majlis pelepasan Misi Kemanusiaan dan Prihatin Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di sini, hari ini.

Azlan berkata, beliau yang mengetuai misi berkenaan akan berada di kawasan Dusun Tua, Hulu Langat sehingga 25 Disember ini untuk membantu mengagihkan bantuan disamping membersihkan rumah mangsa banjir yang teruk dilanda banjir lumpur.

Menteri Besar Perlis, Azlan Man mengibarkan bendera Perlis sebagai simbolik pelepasan Misi Kemanusiaan dan Prihatin Perlis di Kompleks DUN Perlis, Kangar dimana misi dijalankan sebagai bantuan kepada mangsa bencana banjir di Selangor dan Kuala Lumpur pada minggu lalu. FOTO AIZAT SHARIF
Menteri Besar Perlis, Azlan Man mengibarkan bendera Perlis sebagai simbolik pelepasan Misi Kemanusiaan dan Prihatin Perlis di Kompleks DUN Perlis, Kangar dimana misi dijalankan sebagai bantuan kepada mangsa bencana banjir di Selangor dan Kuala Lumpur pada minggu lalu. FOTO AIZAT SHARIF

"Bantuan yang diagihkan dalam wang tunai bagi membeli barang mentah untuk dimasak, makanan segar untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal sebanyak tiga kali sehari dan sumbangan barangan seperti tilam, tikar getah, dapur dan barangan lain mengikut keperluan mangsa," katanya.

Beliau berkata, sukarelawan misi kemanusiaan berkenaan juga ditugaskan untuk membantu membersihkan rumah mangsa banjir, premis kerajaan, masjid atau surau yang ditetapkan oleh penyelaras di lokasi bencana.

Misi Kemanusiaan dan Prihatin Perlis membabitkan hampir 100 sukarelawan dari Kerajaan Negeri Perlis, agensi dan badan berkanun negeri, UMNO Perlis, Majlis Perbandaran Kangar serta badan bukan kerajaan (NGO).

Sebanyak 38 kenderaan terdiri daripada lori, kenderaan pacuan empat roda, van terbabit dalam misi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 5:02 PM