Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Sistem cuaca tekanan rendah yang masih berada di kawasan Selat Melaka menyebabkan hujan lebat berterusan hampir di semua negeri di Semenanjung.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, selain itu luruan monsun yang agak kuat juga adalah faktor hujan lebat berlaku.

"Ketika ini negara mengalami Monsun Timur Laut, hujan lebat yang berterusan ini berlaku juga disebabkan lekukan tropika(tropical depression).

"Sehingga kini, beberapa kawasan berada di peringkat bahaya atau merah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai semasa sehingga 5 petang hari ini, Muhammad Helmi berkata, hujan sangat lebat peringkat bahaya berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor.

"Daerah di Selangor yang berlaku hujan sangat lebat ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Hulu Langat.

"Hujan sangat lebat berterusan dijangka sehingga hari ini di kawasan-kawasan terbabit.

"Jujan lebat berterusan iaitu peringkat jingga di Perak (Hilir Perak dan Muallim), Kelantan (Gua Musang), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Bentong, Maran dan Kuantan), Selangor (Sepang), Putrajaya dan Negeri Sembilan (Jelebu)," katanya ketika dihubungi.

Keadaan banjir di Jalan Kebun, Shah Alam hari ini berikutan hujan lebat sejak pagi semalam. Foto Hazreen Mohamad
Keadaan banjir di Jalan Kebun, Shah Alam hari ini berikutan hujan lebat sejak pagi semalam. Foto Hazreen Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 5:46 PM