FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Ribut petir dengan hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat akan berlaku dalam tempoh fasa peralihan monsun yang sudah bermula 24 September lalu dan dijangka berterusan sehingga awal November depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, ia berlaku kerana rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah dalam tempoh fasa peralihan monsun.

Menurutnya, kejadian itu berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan dekat negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

"Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, terutamanya di kawasan berkedudukan rendah dan kerap banjir, tanah runtuh serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

"Selain banjir dan kejadian tanah runtuh, keadaan angin kencang dan laut bergelora antara kejadian yang biasa berlaku dalam fasa ini (peralihan monsun)," katanya dalam satu kenyataan kepada Harian Metro.

Tambah Muhammad Helmi, kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka akan menerima hujan pada paras purata.

Bagaimanapun, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan sebahagian Perak dijangka menerima hujan sedikit melebihi paras purata.

"Di Sarawak, bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Sibu dijangka menerima hujan sedikit melebihi manakala bahagian lain akan menerima hujan pada paras purata.

"Bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka menerima hujan pada paras purata kecuali Tawau yang akan menerima hujan sedikit bawah purata," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Helmi menasihatkan orang awam untuk berada dalam keadaan berjaga-jaga terutamanya bagi yang berada di kawasan berpotensi banjir ketika kejadian rebut petir atau hujan lebat.

"Orang awam juga boleh mendapatkan maklumat terkini seperti amaran ribut petir, hujan lebat berterusan atau angin kencang dan laut bergelora dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi MET Malaysia seperti www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, Facebook (Fb), Instagram (IG) dan Twitter atau hubungi talian hotline 24 Jam 1-300-22-1638," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 5:34 PM