GAMBAR hiasan. FOTO AIZUDDIN SAAD
GAMBAR hiasan. FOTO AIZUDDIN SAAD
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Malaysia dijangka mengalami enam kali air pasang besar dalam tempoh tiga bulan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, Malaysia akan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh lebih awal daripada yang dijangka iaitu pada Isnin ini dan berterusan sehingga Mac tahun 2023.

Katanya, sepanjang tempoh ini, sebanyak empat hingga enam episod luruan monsun yang membawa hujan lebat secara berterusan berpotensi berlaku.

"Seperti musim yang lalu, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.

"Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar, risiko kejadian banjir boleh meningkat.

"Kejadian air pasang besar dijangka berlaku antara 6 hingga 11 dan 22 hingga 27 November ini diikuti 7 hingga 12 dan 22 hingga 26 Disember serta 6 hingga 10 dan 21 hingga 25 Januari tahun depan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, ketika MTL, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat dan amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia di medium sebaran rasmi seperti laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial MET Malaysia sama ada di Facebook, Twitter dan Instagram.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline METMalaysia 1-300-22-1638.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 5:08 PM