Paras air antara Sungai Klang dan Gombak berdekatan Masjid Jamek, Kuala Lumpur semakin meningkat susulan hujan sejak awal pagi hari ini. Foto Ihsan Md Ismail Isnin
Paras air antara Sungai Klang dan Gombak berdekatan Masjid Jamek, Kuala Lumpur semakin meningkat susulan hujan sejak awal pagi hari ini. Foto Ihsan Md Ismail Isnin

Hafidzul Hilmi Mohd Noor

[email protected]

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran peringkat bahaya atau merah di Kuala Lumpur dan Selangor.

Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata, hujan sangat lebat peringkat bahaya dijangka berlaku di Kuala Lumpur dan di Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Hulu Langat.

"Hujan sangat lebat berterusan dijangka sehingga hari ini di kawasan-kawasan terbabit.

"Hujan lebat berterusan iaitu peringkat jingga juga dijangka berlaku di Perak (Hilir Perak dan Muallim), Kelantan (Gua Musang), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Bentong, Maran dan Kuantan), Selangor (Sepang), Putrajaya dan Negeri Sembilan (Jelebu)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, beberapa negeri lain dikeluarkan amaran peringkat waspada atau kuning iaitu di Kedah (Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut,Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk dan Batang Padang).

"Selain itu, kawasan lain yang merekodkan cuaca peringkat waspada ialah Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai), Terengganu, Pahang (Raub, Temerloh, Bera, Pekan dan Rompin).

"Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin) dan Melaka (Alor Gajah). Semua kawasan ini dijangka berterusan sehingga esok," katanya.

Beliau berkata, hujan lebat berterusan ini berlaku disebabkan oleh luruan monsun (cold surge) dan juga lekukan tropika (tropical depression).

"Namun amaran hujan lebat ini akan dikemas kini bergantung kepada keadaan. Ketika ini Monsun Timur Laut.

"Ia dijangka tamat hari ini dan keadaan cuaca dijangka beransur-ansur baik,"katanya.

Semalam, beberapa kawasan dilaporkan dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 3:23 PM