Norzamira Che Noh


Shah Alam: Mangsa banjir di Selangor kini meningkat menjadi 3,086 berbanding berbanding 1,011 orang pada jam 7 pagi tadi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kesemua mangsa banjir itu membabitkan penduduk daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang.

"Klang merekodkan jumlah mangsa yang paling ramai iaitu 2,604 orang setakat ini dan mereka ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara (PPS).

"Manakala bagi Kuala Langat dan Sepang, seramai 482 individu yang ditempatkan di sembilan PPS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi daerah Klang, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia mencatatkan jumlah pemindahan mangsa paling tinggi dengan 793 individu diikuti SK Telok Gong (681) dan Masjid Al-Islah (256) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Indah dengan 190 mangsa daripada kaum Orang Asli Pulau Carey.

Keadaan banjir di Jalan Kebun, Shah Alam hari ini berikutan hujan lebat sejak pagi semalam. Foto Hazreen Mohamad
Keadaan banjir di Jalan Kebun, Shah Alam hari ini berikutan hujan lebat sejak pagi semalam. Foto Hazreen Mohamad

Katanya, antara PPS lain yang dibuka ialah Masjid Al-Ubudiah; Balai MPKK Sungai Pinang; Sekolah Rendah Agama (SRA) Pulau Indah; Balai MPKK Perigi Nenas; Balai MPKK Bukit Naga; SK Sungai Binjai; SRA Padang Jawa; SK Jalan Kebun; Dewan Orang Ramai Tok Muda; SRA Pekan Kapar; SRA Kampung Delek; Dewan Serbaguna MPK Kampung Jawa; SRAI Batu Belah; SRA Kampung Batu 4; Dewan Kemuning Utama dan Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kapar.

"Bagi daerah Kuala Langat dan Sepang, SMK Telok Panglima Garang menempatkan paling ramai mangsa iaitu 143 orang diikuti SK Olak Lempit dengan 75 mangsa.

"PPS lain di daerah terbabit adalah Dewan MPKL Banting; Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang; SK Sungai Buaya; SK Cheeding; SK Kebun Baru; SRA Bukit Changgang dan Balai Raya Kampung Giching (Sepang)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 1:39 PM