Dr Sarah 'Atifah (kiri) bersama Dr Sarah Athirah di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ke-64, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Dr Sarah 'Atifah (kiri) bersama Dr Sarah Athirah di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ke-64, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: "Umpama pemain beregu, kami turun ke gelanggang sama-sama, menang bersama," kata Dr Sarah Athirah, 30.

Sarah Athirah berkata demikian mengulas kejayaan dia dan kakaknya, Dr Sarah 'Atifah Saruchi, 32, yang berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) serentak pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ke-64, di sini, hari ini.

Menurutnya, kejayaan mereka adalah hasil didikan dan doa kedua ibu bapa serta bantuan penyelia.

"Ayah, Saruchi Sawal, 57, adalah Ketua Penolong Pengarah Kanan di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang manakala ibu, Haliza Abd Manaf, 57, pula guru di Sekolah Kebangsaan Tanjong Lalang, Temerloh, Pahang.

"Kami ini umpama pemain beregu, kami turun ke gelanggang sama-sama, kami menang bersama. Jurulatih kami adalah penyelia dan ibu bapa, manakala penonton adalah rakan seperjuangan.

"Inspirasi kami dan cita-cita kamu mahu jadi pengajar kerana ibu bapa juga adalah cikgu. Ketika daftar untuk menyambung pengajian pun bersama-sama walaupun bidang berlainan, susah kita sama-sama," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Untuk rekod, pada tahun lalu, dua beradik itu juga berjaya menamatkan pengajian iaitu Dr Sarah 'Atifah Kejuruteraan dari Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) manakala Dr Sarah Athirah pula Perbankan Islam dari Azman Hashim International Business School (AHIBS).

Mengulas lanjut, Sarah Athirah berkata, sejak zaman Ijazah Sarjana Muda lagi mereka nekad untuk menamatkan pengajian bersama.

"Kakak menamatkan pengajian di Universiti Nagoya, Jepun manakala saya pula tamatkan pengajiannya di Universiti Yarmouk, Jordan pada tahun 2013," katanya.

Katanya, mereka berdua juga memperolehi ijazah Sarjana di Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia, masing-masing pada tahun yang sama iaitu 2015.

"Kami turut membabitkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum ketika menuntut pengajian PhD di UTM iaitu pernah mewakili dalam Pertandingan 3 Minute Thesis di peringkat universiti.

"Sudah menjadi norma kehidupan kami pada ketika itu untuk saling membantu dalam memberikan sokongan material termasuk mental sehingga kami mampu menjayakan apa yang diidamkan," katanya.

Sarah 'Atifah yang juga penerima biasiswa Zamalah UTM terpilih sebagai seorang daripada penerima Best Postgraduate Award pada sesi konvokesyen tahun ini serta ditawarkan bekerja sebagai Pensyarah di UCSI, Kuala Lumpur.

Manakala Sarah Athirah pernah berkhidmat di Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru sebagai Pensyarah Kanan sebelum ditawarkan sebagai Pembantu Profesor di Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 4:04 PM