Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Bagi mencipta kelainan serta mengekalkan rasa sebenar piza seperti proses asal, pemuda dari Pasir Hor, di sini, menggunakan dapur kayu api untuk membakar makanan popular Itali itu sejak menjualnya sebulan lalu.

Muhammad Afiq Hamidi, 23, berkata, idea untuk menghasilkan piza menggunakan dapur kayu api itu tercetus selepas ayahnya, Hamidi Hasan, 50, yang menghidap angin ahmar sering melihat proses pembakaran makanan itu menggunakan kaedah tradisional melalui YouTube.

Katanya, dia yang sebelum ini menjual ayam goreng di rumah mula berubah 'angin' kepada perniagaan piza selepas kenaikan harga ayam dan piza dibakar menggunakan kayu api mendapat permintaan daripada penduduk setempat.

"Rasa piza dibakar menggunakan dapur kayu api dengan ketuhar sangat berbeza serta mempunyai keunikan tersendiri kerana aromanya lebih wangi selain teksturnya lebih lembut.

"Saya membelanjakan RM10,000 untuk menyediakan dua dapur kayu api diperbuat daripada batu bata dan simen selain menggunakan bahan lain seperti batu tahan panas bagi membakar piza," katanya.

Menurutnya, untuk membakar piza, dia menggunakan kayu pokok rambutan yang diambil atau dibeli daripada penebang pokok di sekitar Kota Bharu dan akan menambah bekalan kayu api sebanyak dua kali dalam seminggu.

Afiq Hamidi membakar pizza menggunakan dapur kayu api ketika ditemui di kedainya di Pasir Hor. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Afiq Hamidi membakar pizza menggunakan dapur kayu api ketika ditemui di kedainya di Pasir Hor. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Katanya, kayu pokok rambutan menghasilkan bau asap berbeza selain membuatkan rasa piza lebih sedap, dipercayai disebabkan bahang semula jadi terhasil daripada penggunaan kayu api sewaktu proses pembakaran dilakukan.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, berbeza dengan ketuhar, tempoh pembakaran piza menggunakan dapur kayu api lebih singkat iaitu kira-kira satu hingga tiga minit sahaja.

"Biarpun nampak mudah, proses membakar piza menggunakan dapur kayu api memerlukan saya sentiasa peka dan fokus. Ini kerana, jika terleka, piza yang dibakar bukan sahaja tidak masak, malah rotinya boleh hangus.

"Alhamdulillah, setakat ini kebanyakan pelanggan memberi maklum balas positif termasuk memuji ia mempunyai tekstur lembut serta sedap," katanya.

Muhammad Afiq berkata, bagi memenuhi permintaan pelanggan, setiap hari dia akan menguli lapan kilogram tepung dan 50 keping piza mampu dijual.

Menurutnya, dia membuat beberapa jenis piza seperti Chicken Pepperoni, Beef Pepperoni dan Tuna Seafood yang dijual dengan harga RM20 hingga RM35 mengikut jenis piza.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 3:32 PM