NAZRI memantau proses membakar kayu  dalam ‘gok’ untuk dijadikan arang di Kampung Bukit Mak Lipah, Mahligai, Bachok. FOTO BERNAMA
NAZRI memantau proses membakar kayu dalam ‘gok’ untuk dijadikan arang di Kampung Bukit Mak Lipah, Mahligai, Bachok. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Bachok: Kepulan asap hitam dan tebal sedikit pun tidak mengganggu tumpuan Nazri Mohd Sohor sebaliknya tangannya terus tangkas memasukkan kayu ke dalam 'gok', binaan seakan iglu yang berfungsi sebagai ketuhar untuk membakar kayu sehingga menjadi arang.

Itu rutin harian Nazri, 48, bersama isterinya Pazuriatiayu Paudin, 45, sejak lapan tahun lalu selepas mengambil alih perusahaan membuat arang berusia 40 tahun milik bapa mentuanya, Allahyarham Paudin Ismail.

Allahyarham Paudin meninggal dunia pada 17 Januari lepas.

Bercakap kepada Bernama, Nazri berkata, arwah bapa mentuanya memulakan perusahaan membuat arang itu di Kampung Padang Raja, Melor, Kota Bharu sebelum beliau bersama lima ipar-duainya memindahkan tapak perusahaan ke lokasi sekarang berhampiran rumahnya di Kampung Bukit Mak Lipah, Mahligai di sini.

SEBAHAGIAN daripada 12 ‘gok’ yang digunakan untuk membakar arang. FOTO BERNAMA
SEBAHAGIAN daripada 12 ‘gok’ yang digunakan untuk membakar arang. FOTO BERNAMA

"Kemahiran menghasilkan arang kini diwarisi dan diturunkan kepada kami semua, terdapat 12 buah gok yang digunakan untuk membakar kayu seterusnya menghasilkan arang di sini.

"Proses pembakaran kayu mengambil masa antara dua minggu untuk gok kecil bersaiz 3.05 meter (m) dan tiga minggu untuk gok besar bersaiz 3.96m sebelum menjadi arang. Antara jenis kayu yang saya gunakan untuk membuat arang ialah kayu pokok rambutan, getah dan dokong," katanya.

PEKERJA memilih kayu yang sudah dipotong sebelum dibakar menjadi arang. FOTO BERNAMA
PEKERJA memilih kayu yang sudah dipotong sebelum dibakar menjadi arang. FOTO BERNAMA

Bercerita lanjut, Nazri berkata, untuk menghasilkan arang berkualiti, kawalan api perlu diberi perhatian.

"Selepas kayu dimasukkan ke dalam gok, api dinyalakan di bahagian tempat khas sebelah pintu utama. Kayu kemudian dibakar menggunakan suhu tinggi untuk tiga hari, sebelum proses pembakaran diteruskan menggunakan api sederhana serta kecil sehingga kayu bertukar menjadi arang," katanya.

SEBAHAGIAN arang yang sudah siap dibakar. FOTO BERNAMA
SEBAHAGIAN arang yang sudah siap dibakar. FOTO BERNAMA

Nazri berkata, beliau perlu memeriksa gok lima kali sehari bagi mengelak ia merekah dan api merebak ke luar, selain gok juga perlu ditampal dengan tanah liat 'kelat masam' dan pasir halus basah di permukaan pintu bagi mengekalkan kelembapan supaya suhu terkawal.

Sementara itu, Pazuriatiayu berkata, arang yang berkualiti tidak mengeluarkan percikan api dan mudah untuk dinyalakan.

NAZRI dan Pazuriatiayu mengisi arang ke dalam guni. FOTO BERNAMA
NAZRI dan Pazuriatiayu mengisi arang ke dalam guni. FOTO BERNAMA

"Kami menjual arang siap dibungkus seberat dua kilogram (kg) pada harga RM2. Biasanya arang kami dibeli oleh peniaga nasi kerabu, ayam dan daging bakar, roti tempayan, burger bakar, pizza arang dan lain-lain lagi.

"Setiap bulan kami mampu menghasilkan kira-kira 3,800kg arang. Malah, arang keluarga kami turut memiliki pelanggan tetap di luar negeri ini seperti di Kuala Lumpur," katanya.

ARANG yang sudah siap dibakar dipotong kepada saiz yang lebih kecil. FOTO BERNAMA
ARANG yang sudah siap dibakar dipotong kepada saiz yang lebih kecil. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 7:05 AM