Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Linangan air mata gembira mengiringi remaja, Aziana Shaari, 17, selepas impian sejak zaman kanak-kanaknya untuk menaiki kereta api akhirnya tercapai hari ini.

Aziana yang terlantar lumpuh sejak lapan tahun lalu kerana tulang belakang hancur akibat dihempap konkrit dibawa menaiki tren khas komuter dari Sungai Petani ke Butterworth ihsan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Aziana yang menetap di Kampung Bakar Bata, Pinang Tunggal berkata, sejak kecil dia berkeinginan menaiki kereta api kerana hampir setiap hari melihatnya melalui landasan berhampiran kediaman keluarganya.

Sejak itu, dia menanam impian menaiki kereta api apabila dewasa namun segalanya berubah selepas tubuh kecilnya yang ketika itu berusia sembilan tahun dihempap konkrit menyebabkannya mengalami kecacatan kekal.

Pada kejadian itu, dinding konkrit rumah saudara yang dalam pembinaan runtuh menimpa Aziana ketika dia bermain di tapak yang terletak di belakang rumah keluarganya.

Bagaimanapun, impian anak bongsu daripada enam beradik itu tercapai apabila dibawa menaiki kereta api yang turut berhenti seketika berhampiran kampungnya sebelum dia disambut lambaian keluarga dan jiran yang berkumpul di luar pagar landasan.

Aziana berkata, dia terharu dan tidak menyangka impiannya tertunai.

"Saya benar-benar teruja serta terharu kerana ini pengalaman pertama dapat menaiki kereta api," katanya.

Ibu Aziana, Fatimah Hashim, 50, berterima kasih kepada KTMB kerana memenuhi impian anaknya.

"Sejak pagi, Aziana sudah tidak sabar untuk menaiki kereta api, dia cukup gembira kerana impiannya tercapai.

"Sebelum ini, saya akan tolak Aziana ke luar rumah setiap kali dia mahu melihat kereta api yang melalui landasan namun hari ini, dia merasai pengalaman menaiki kereta api," katanya.

Sementara itu, Pengerusi KTMB Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pihaknya memutuskan memenuhi impian Aziana selepas mengetahui hasrat seumur hidup remaja berkenaan.

"Kami gembira dapat memenuhi impian seumur hidup Aziana dan berharap ia akan memberi kegembiraan kepadanya," katanya.

Perjalanan Aziana menaiki kereta api itu diiringi dua kakitangan perubatan bagi memantau keadaannya.

Selain lumpuh, Aziana turut mengalami kerosakan paru-paru, pundi kencing, buah pinggang dan masalah pendengaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 4:46 PM
KERETA API Tanah Melayu Berhad (KTMB) merealisasikan impian remaja lumpuh separuh badan Aziana Shaari, 17, menaiki tren khas KTM. FOTO Luqman Hakim Zubir
KERETA API Tanah Melayu Berhad (KTMB) merealisasikan impian remaja lumpuh separuh badan Aziana Shaari, 17, menaiki tren khas KTM. FOTO Luqman Hakim Zubir