JAMBATAN runtuh di Genoa, Itali. Foto REUTERS
JAMBATAN runtuh di Genoa, Itali. Foto REUTERS
Agensi

“SAYA terdengar bunyi deraman dan nampak jalan raya ‘menggelongsor’ sebelum menyedari kereta saya juga jatuh bersama. Entah bagaimana saya boleh terselamat.”

Pengalaman itu diceritakan pemandu, Davide Capello, 33, yang jatuh kira-kira 45.7 meter di dalam keretanya ketika nahas jambatan runtuh di Genoa yang mengorbankan 35 orang, kelmarin.

Pemain bola sepak amatur itu memberitahu akhbar Repubblica dia sedar sepanjang kejadian dan terus menghubungi bomba serta keluarganya. Keretanya meluncur mengikut runtuhan sebelum ditemui di laluan bawah dengan kerosakan teruk, namun Capello sendiri tidak mengalami kecederaan serius.

Dia antara mangsa terselamat yang berjaya dikeluarkan dari runtuhan Jambatan Morandi itu. Pelbagai kenderaan, puing konkrit dan besi jatuh ke atas landasan kereta api, selain dalam sungai serta zon perindustrian di bawah dan menghempap kenderaan serta struktur di situ.

Gambar disiarkan menunjukkan bomba mengikat mangsa terselamat pada tandu sebelum dibawa untuk rawatan menaiki helikopter. Pihak berkuasa bimbang puluhan mayat masih belum ditemui dalam kejadian disifatkan tragedi besar itu.

Daily Mail melaporkan, seorang bayi antara mangsa yang maut manakala dua orang mati dalam kediaman mereka yang dihempap puing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 7:14 PM