NISHIMURA Koji. FOTO Bernama.
NISHIMURA Koji. FOTO Bernama.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kepakaran Jepun dalam menguruskan pengangkutan rel serta logistik akan meletakkan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk melonjakkan kecekapan operasi dan menjadi lebih berdaya saing dalam memenuhi peningkatan permintaan bagi pergerakan kargo.

Pemangku Pengurus Kanan Kawalan Operasi KTMB, Salim Misdi berkata kepakaran itu lebih penting kepada KTMB memandangkan tren kargo dijangka naik dua kali ganda dengan bermulanya operasi landasan berkembar baharu dari Gemas ke Johor Bahru (JB).

Pemindahan kepakaran pengurusan dan teknikal itu kepada kakitangan operasi KTMB dibuat menerusi program yang dikendalikan oleh pakar-pakar dari Japan Freight Railway Company (JR Freight) baru-baru ini.

Dengan laluan Gemas-JB serta landasan berkembar sedia ada di utara, masa pusingan gerabak akan menjadi lebih cepat, yang membawa kepada penggunaan gerabak termasuk lokomotif KTMB yang optimum.

Oleh itu ia memerlukan kecekapan yang lebih tinggi dalam mengendalikan landasan berkembar selain bersedia bagi operasi elektrifikasi pada masa depan.

Sehubungan itu, kakitangan operasi KTMB mendapat pengetahuan yang amat memberangsangkan daripada program berkenaan dalam mengendalikan logistik pengangkutan rel daripada pakar dalam pengangkutan kargo, JR Freight yang juga sebuah syarikat kereta api kargo dominan di Jepun.

Program ini juga mencerminkan hubungan kukuh Malaysia-Jepun, dengan Jepun menjadi sumber untuk meningkatkan infrastruktur rel serta logistik pengangkutan.

Dua tahun lalu, JR Rail sudah melakukan program yang sama, menilai dan menaik taraf sistem kereta api KTMB bagi meningkatkan penggunaan rangkaian kereta api sedia ada di negara ini.

Pihak lain yang terlibat dalam program itu adalah Kementerian Pengangkutan, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Salim berkata KTMB perlu menambah bilangan lokomotif kepada 25 daripada 15 buah ketika ini bagi memenuhi permintaan pelanggan kargo yang semakin bertambah termasuk perkhidmatan masuk keluar dari Pelabuhan Klang.

Sementara itu, Pengurus Perkhidmatan Kargo KTMB, Yusli Ahmad berkata jumlah kargo naik antara 10 hingga 15 peratus setiap bulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir, dengan KTMB turut mengendalikan kontena untuk pergerakan rentas sempadan.

"Sudah tentu kita boleh menggunakan teknologi dan sistem yang digunakan oleh JR Freight bagi meningkatkan kecekapan KTMB, terutamanya dengan jumlah yang dijangka melambung tinggi dengan gerabak serta beban tambahan selepas landasan berkembar beroperasi," katanya.

Penasihat Kanan JR Freight kepada pengurus besar di jabatan perniagaan luar negara, Nishimura Koji mencadangkan agar KTMB memberi tumpuan kepada menjana lebih banyak kargo dari Malaysia ke Thailand atau China melalui pengangkutan kereta api dan bukan setakat penghantaran kargo.

Beliau berkata Ipoh atau Nilai, yang berhampiran dengan stesen Pelabuhan Klang, harus digunakan sebagai pangkalan pengangkutan yang memberi tumpuan kepada penjanaan permintaan antara Malaysia, Thailand, China dan juga Laos, sebagai cara untuk meningkatkan perniagaan pengangkutan Malaysia

Koji turut mencadangkan KTMB membina stesen kargo domestik di sekitar kawasan bandar raya Kuala Lumpur dalam usaha menjana permintaan domestik.

"Faktor penting dalam pengurusan rel kargo termasuk memindahkan kargo dari lori ke rel dengan kos yang lebih jimat, menambah kualiti perkhidmatan, keselamatan, ketepatan masa, kekerapan, pengambilan dan penghantaran yang lancar dalam pengangkutan batu terakhir serta kerjasama dengan pengangkut barang," katanya.

Koji berkata dengan landasan berkembar Gemas-JB yang dijangka siap pertengahan tahun ini, KTMB juga perlu berusaha menawarkan perkhidmatan tren kargo tetap kepada lebih ramai pelanggan bermula dengan satu kontena dan tidak hanya tertumpu kepada pelanggan khas atau besar, satu langkah yang akan membantu meningkatkan kargo.

Beliau berkata pelanggan mengambil kira pelbagai keadaan seperti jadual pengangkutan, kos pengangkutan, ketepatan masa, kekerapan dan kadar pengangkutan.

"Penambahbaikan berterusan KTMB terhadap sistem infrastrukturnya berpotensi mengoptimumkan perniagaan pengangkutan relnya dengan cekap, terutamanya dalam pergerakan jarak jauh.

"Ini boleh membuka jalan ke arah Malaysia menjadi hab serantau bagi pergerakan barang ke Thailand, Laos dan China," katanya.

"Melangkah ke hadapan, KTMB perlu memberi tumpuan kepada pengangkutan jarak sederhana atau jauh (dan) pasaran kita adalah jarak jauh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 5:38 PM