EMPAT lelaki dikesan bagi membantu siasatan kes tetak pemberi pinjam wang atau 'along'. FOTO Ihsan IPK Selangor.
EMPAT lelaki dikesan bagi membantu siasatan kes tetak pemberi pinjam wang atau 'along'. FOTO Ihsan IPK Selangor.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis Selangor sedang mengesan empat lelaki bagi membantu siasatan kes tetak 'ahlong' hingga mati di hadapan restoran di Lorong Batu Nilam 27A, Bandar Bukit Tinggi 2, Klang minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, setakat ini polis sudah menahan enam lelaki dipercayai terbabit dan boleh membantu siasatan.

"Kesemua tangkapan direman sehingga 13 November bagi membantu pihak polis merungkai kejadian ini serta mengesan saki baki suspek lain yang terbabit.

"Kini, polis sudah mengenalpasti empat individu yang dipercayai boleh membantu siasatan, mereka adalah Low Chee Boon, 40 yang beralamat di Kampung Idaman Pelabuhan Klang.

"Lim Chee Hau, 39 tahun ; Tan Ok Pin, 34 tahun dan Yap Chin Hock, 58 yang masing-masing beralamat di Jenjarom," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, sehingga kini polis masih lagi menjalankan siasatan terperinci mengenai punca serta motif mangsa dibunuh.

"Justeru itu, pihak polis memohon kerjasama daripada orang ramai sekiranya terdapat sebarang maklumat sila salurkan kepada balai polis berhampiran ataupun berhubung dengan pegawai penyiasat iaitu Asisten Superintendan Mohamad Syahrir Bin Zabidi di talian 012-6650895," katanya.

Pada 6 November lalu, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai pergaduhan di hadapan restoran di Lorong Batu Nilam 27A, Bandar Bukit Tinggi 2, Klang.

Mangsa, Phua Kian Ming, 47 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat ditetak dengan menggunakan senjata tajam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 6:10 PM