KETUA Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nak Ezanee Mohd Faisal menunjukkan pistol tiruan yang dirampas dalam serbuan membabitkan seorang lelaki yang memecah masuk sebuah rumah.
KETUA Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nak Ezanee Mohd Faisal menunjukkan pistol tiruan yang dirampas dalam serbuan membabitkan seorang lelaki yang memecah masuk sebuah rumah.
Nurul Hidayah Bahaudin


LIMA lelaki dipercayai terbabit dalam kes pecah kedai serbaneka di Taman Medan, Petaling Jaya, 10 April lalu berjaya ditahan dalam dua serbuan berasingan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membuat serbuan di rumah di Taman Medan, 9.30 malam 21 April lalu.

"Dua lelaki ditahan dalam serbuan pertama sebelum kita menahan dua lagi lelaki dalam serbuan berasingan di Cheras dan Klang.

"Kami juga menahan seorang lagi lelaki yang dipercayai membeli barangan curi di sebuah kedai di Sungai Way," katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya, di Petaling Jaya, hari ini.

Nik Ezanee berkata, semua suspek yang ditahan berusia 36 hingga 38 tahun dan empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.

"Polis merampas empat motosikal dipercayai dicuri kumpulan itu, dua plastik mengandungi dadah, tiga telefon bimbit, 174 kotak rokok pelbagai jenama dan 39 paket bateri.

"Siasatan lanjut masih dijalankan terhadap semua suspek bagi mengenal pasti pembabitan kumpulan itu dengan kes pecah kedai dan rumah di daerah ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kes pecah rumah di Bandar Utama, di Petaling Jaya, 5.10 pagi pada 22 April lalu.

"Kami berjaya menahan suspek berusia 18 tahun di Kampung Ampang Indah, Ampang, 6 petang, kelmarin.

"Polis merampas satu pistol tiruan, beg sandang dan dua telefon bimbit. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah membabitkan kes curi kenderaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 7:05 PM