GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Remaja bawah umur antara lapan lelaki yang ditahan polis kerana melakukan khianat dengan api, menyimbah cat dan ugut mangsa ceti haram di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek berusia 16 hingga 43 tahun itu ditahan menerusi beberapa siri serbuan di Kota Tinggi, Seri Alam dan Segamat antara 22 hingga 25 Oktober lalu.

Beliau berkata, siasatan mendapati kumpulan samseng upahan itu aktif sejak Ogos lalu dan mendapat upah RM600 untuk melakukan khianat simbah cat manakala RM1,000 sebagai upahan melakukan khianat dengan api.

"Mereka melakukan gangguan berkenaan terhadap mangsa yang gagal melangsaikan pinjaman dengan ceti haram.

"Hasil serbuan polis berjaya merampas barangan termasuk 15 telefon bimbit, tong cat warna merah, tin semburan cat warga hitam, nota ugutan, sarung tangan dan topeng plastik.

"Turut dirampas sebuah kereta Perodua Beza, sebuah Proton Waja dan sebuah Proton Saga," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan Majlis Pemakaian Pangkat dan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Johor antara Senior Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias dengan Senior Asisten Komisioner Hoo Chuan Huat.

Kamarul Zaman berkata, menerusi tangkapan berkenaan, polis berjaya menyelesaikan 45 kes berkaitan di Johor Bahru, Iskandar Puteri, Kulai, Kluang, Seri Alam, Kota Tinggi, Muar, Pontian, Batu Pahat dan Segamat manakala empat kes di Melaka dan satu kes di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah mengiklankan tawaran pinjaman di laman sosial Facebook (FB) dengan menggunakan ayat pinjaman wang berlesen Singapura bagi memperdaya mangsa.

Menurutnya, apabila peminjam memberi maklumat peribadi berkaitan akaun bank dan alamat tempat tinggal, sindiket akan memasukkan wang ke dalam akaun peminjam tanpa memperoleh persetujuan peminjam.

"Kemudian sindiket akan memaksa peminjam untuk membuat bayaran dengan mengenakan kadar faedah yang dan sekiranya tidak akur, mereka akan menggunakan orang suruhan bagi melakukan perbuatan khianat.

"Hasil siasatan kebanyakan mangsa adalah dalam kalangan warga tempatan yang bekerja di Singapura.

"Apabila mereka gagal membayar pinjaman, rumah keluarga di negara ini menjadi mangsa simbah cat dan khianat," katanya.

Kamarul Zaman berkata, bagi kes khianat simbah cat kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Manakala bagi khianat dengan api, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda," katanya.

Sementara itu, mengulas berkaitan kes mengupah 'samseng' untuk memalukan mangsa dan keluarganya akibat gagal menuntut hutang di Taman Gunung Lambak, Kluang pada 23 Oktober lalu, Kamarul Zaman berkata, tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan.

"Siasatan masih dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 3:23 PM