AYOB Khan. FOTO BERNAMA
AYOB Khan. FOTO BERNAMA
Omar Ahmad

Johor Bahru: Polis Johor bekerjasama dengan pihak berkuasa Singapura bagi mengesan suspek yang dipercayai terbabit dengan kes ugutan di kediaman Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Chua Jian Boon, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kerjasama itu bagi membantu pihaknya mengesan dua individu yang dipercayai terbabit sindiket wang haram atau along yang berada di negara berkenaan.

"Ramai pertikai kenapa kita tidak selesai dengan cepat, tetapi perlu tahu modus operandi kes ini amat teliti, termasuk cara kerja dan juga nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan.

"Kita sedang mengesan dua suspek yang berada di Singapura, yang menggunakan nombor telefon berdaftar dan juga ada akaun bank membabitkan transaksi di Singapura. Jadi kita terpaksa minta bantuan negara itu sebab ia bukan kes mudah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Menurut Ayob Khan, pihaknya juga telah mengambil keterangan tiga saksi kejadian dan menyiasat lokasi, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan rumah Jian Boon di Kulai disimbah cat merah pada 11.15 malam, Khamis lalu dengan ugutan jenayah itu dipercayai selepas beliau membantu seorang mangsa yang diburu syarikat pengutip hutang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 4:26 PM