Mary Victoria Dass


Kulai: Seorang konco ceti haram dihukum penjara lima bulan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dakwaan mengugut seorang lelaki yang juga bapa seorang pemimpin politik pada 21 September lalu.

Tertuduh, Teng Chee Sing, 34, didakwa melakukan perbuatan itu pada 12.46 tengah hari di hadapan bank CIMB di Taman Indahpura di sini.

Tertuduh didakwa melakukan ugutan terhadap Chua Poh Chai menerusi nombor telefon dirahsiakan dan mahu menyebabkan kebinasaan rumah Poh Chai dengan api di Taman Putri, Kulai di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 kanun sama iaitu penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edlynn Wong manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman, Hidayah Asri.

TENG Chee Sing dipenjara lima bulan selepas didapati bersalah melakukan ugutan jenayah. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
TENG Chee Sing dipenjara lima bulan selepas didapati bersalah melakukan ugutan jenayah. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin menjatuhi hukuman lima bulan terhadap tertuduh mulai tarikh tangkapan pada 31 Oktober 2021.

Mangsa adalah bapa kepada Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia merangkap Timbalan Pengerusi MCA Kulai, Chua Jian Boon.

Terdahulu tertuduh membuat rayuan supaya dikenakan denda kerana perlu menjalani rawatan di hospital setiap bulan berikutan pernah terbabit kemalangan hingga mengalami kecederaan.

Tertuduh yang sudah berumah tangga menyatakan tidak melakukan sebarang kebinasaan terhadap rumah mangsa, sebaliknya hanya membuat ugutan.

Tertuduh ditahan pada 2.45 petang di Taman Abad, di sini pada 31 Oktober lalu.

Pada 23 September lalu, Jian Boon memaklumkan menerima ugutan menerusi panggilan telefon daripada pihak tidak dikenali selepas mengadakan sidang media berkaitan seorang wanita menjadi mangsa sindiket ceti haram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 12:27 PM