Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Tiga lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret (Munisipal), di sini, hari ini, atas pertuduhan menculik seorang lelaki senegara mereka dengan meminta wang tebusan RM3,000 dalam kejadian pada Oktober lalu.

Tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh, Abdul Rahim Ali Husson, 38, Taher Ahmad Mustafa Ahmad, 42, dan Mostaque Ahmed Rofiq Ahmed, 36 selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama-sama dengan seorang yang masih bebas didapati menculik seorang lelaki warga Myanmar, Saddik Mohammad Jalil dengan niat untuk mendapatkan wang tebusan berjumlah RM3,000.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Masjid, Sungai Layar, di dalam daerah Sungai Petani, Kedah antara 8.10 malam 21 Oktober hingga 8.25 malam 24 Oktober lalu.

Mereka bertiga didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 (Akta 365) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan akan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati boleh dikenakan sebatan.

WARGA Myanmar, dari kiri Abdul Rahim Ali Husson, Taher Ahmad Mustafa Ahmad, dan Mostaque Ahmed Rofiq Ahmed dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret (Munisipal) Seberang Perai atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Myanmar pada 24 November lalu. FOTO Danial Saad
WARGA Myanmar, dari kiri Abdul Rahim Ali Husson, Taher Ahmad Mustafa Ahmad, dan Mostaque Ahmed Rofiq Ahmed dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret (Munisipal) Seberang Perai atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Myanmar pada 24 November lalu. FOTO Danial Saad

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 3 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, polis menerima laporan daripada seorang wanita warga tempatan memaklumkan pekerjanya yang berusia 26 tahun dilarikan dua lelaki dengan sebuah kereta Perodua Viva pada 10.43 malam, Isnin lalu.

Susulan daripada laporan itu, polis menahan sembilan individu dalam serbuan berasingan di sekitar Pulau Pinang dan Kedah termasuk menyelamatkan mangsa.

Mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki warga Myanmar, seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 21 hingga 48 tahun.

Tujuh lelaki warga Myanmar mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 12:33 PM