ALOR SETAR 04 December 2014.Lima lelaki berusia 29 hingga 53 tahun terdiri daripada empat warga tempatan dan seorang warga Myamar dituduh di Mahkamah Sesyenatas dua tuduhan merompak secara berkumpulan dan culik di Pendang pada 21 November lalu.NSTP/Amran Hamid

Oleh Mohamad Hussin

Alor Setar: Lima lelaki termasuk seorang warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan merompak secara berkumpulan dan menculik di Pendang, bulan lalu.

Tertuduh Mohd Ibroni Abdullah, 34; Mohd Zamri Saad, 32; Che Sapian Abdullah, 53; Mohd Rashidi Othman, 34; dan warga Myanmar, Nor Alam Abdul Ghoni membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ooi She Owyen.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, mereka bersama lima lagi rakan yang masih bebas dituduh melakukan rompakan secara berkumpulan terhadap Jaafar Anumia dan merompak dua telefon bimbit, dua kipas angin, dokumen penting dan wang tunai RM6,000.

Manakala bagi pertuduhan kedua, mereka bersama lima lagi rakan yang masih bebas juga dituduh menculik Jannor Tara Abd Latif dan mengurungnya dengan niat hendak menyebabkan dikurung dengan sulit.

Mereka dituduh melakukan dua kesalahan itu di rumah beralamat nombor 36, Kampung Rambai, Pendang pada 2.30 pagi, 21 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 2:46 PM