Ruwaida Md Zain


PERSOALAN mengenai identiti dua beradik menyelongkar tempat pembuangan sampah di Pasar Pelabuhan Klang sehingga tular di media sosial, terjawab apabila mereka rupa-rupanya warga Myanmar yang mencari rezeki bersama keluarganya.

Mengutip barang lusuh dan kitar semula dikatakan menjadi rutin harian bagi seorang lelaki warga Myanmar, Nur Islam Abul Husson, 43, dan keluarganya bagi menambah pendapatan.

Nur Islam adalah bapa kepada dua beradik yang menjadi tular kerana mencari sampah dalam keadaan berpakaian seragam sekolah bagi mencari duit belanja sekolah mereka.

Namun, ia menjadi tanda tanya netizen mengenai latar belakang mereka yang berpakaian sekolah itu dan mempersoalkan mengapa pihak berwajib tidak bertanggungjawab ke atas mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, pihaknya menerusi Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang menjalankan siasatan lanjut bagi mendapatkan kepastian mengenai perkara itu.

“Sejak 4.30 pagi hari ini, saya bersama sukarelawan Muafakat Klang menunggu di pasar itu bagi melihat sendiri dan mengenalpasti identiti pasangan beradik berkenaan.

“Alhamdulillah, tidak lama kemudian saya didatangi seorang wanita yang menunjukkan lokasi rumah mereka dan menemukan kami dengan mereka.

“Pada sesi pertemuan itu, baru kami tahu bahawa Nur Islam, isteri dan enam anaknya adalah warga Myanmar dan memegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) yang sah.

“Semua anaknya belajar di sebuah sekolah swasta di Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui NSTP yang turut menyertai lawatan itu di rumah mereka yang berada berdekatan pasar berkenaan.

Kata Azmizam, Nur Islam yang menetap di negara ini sejak 20 tahun lalu mengakui meminta anak-anaknya mencari barang lusuh untuk dijual.

“Semua anaknya dihantar bersekolah di sekolah swasta dan meminta mereka mencari barang untuk dijual kerana pendapatannya sebagai pembantu di pasar tidak mencukupi.

“Itu rutin biasa mereka, malah turut dikenali penduduk yang turut membantu. Kami akan menyalurkan bantuan lanjut berdasarkan peraturan sedia ada berikutan prosedur bagi warga asing berbeza dengan warga tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan netizen supaya tidak terlalu ghairah menyebarkan perkara tidak mempunyai maklumat lengkap.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 7:56 PM
AZMIZAM (lima dari kiri) mendukung anak bongsu Nur Islam ketika menziarahi keluarga terbabit bersama sukarelawan Muafakat Klang di kediaman mereka di bangunan lot kedai berhadapan Pasar Pelabuhan Klang, hari ini. (Gambar kecil), gambar yang tular di media sosial menunjukkan dua beradik menyelongkar sampah dengan memakai pakaian sekolah.
AZMIZAM (lima dari kiri) mendukung anak bongsu Nur Islam ketika menziarahi keluarga terbabit bersama sukarelawan Muafakat Klang di kediaman mereka di bangunan lot kedai berhadapan Pasar Pelabuhan Klang, hari ini. (Gambar kecil), gambar yang tular di media sosial menunjukkan dua beradik menyelongkar sampah dengan memakai pakaian sekolah.