GAMBAR hiasan. Peniaga menonton siaran langsung pembentangan Bajet 2022 di Pekan Rabu, semalam. FOTO Luqman Hakim Zubir
GAMBAR hiasan. Peniaga menonton siaran langsung pembentangan Bajet 2022 di Pekan Rabu, semalam. FOTO Luqman Hakim Zubir
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bajet 2022 dengan nilai RM332.1 bilion menjadi bajet terbesar dalam sejarah negara dan menunjukkan komitmen luar biasa kerajaan memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik melalui polisi fiskal.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, program yang dibentangkan juga dilihat begitu prihatin dan selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu pelan tindakan.

Katanya, peningkatan perbelanjaan pembangunan iaitu RM72 bilion juga adalah tertinggi melebihi RM69 bilion tahun lalu.

"Melalui Bajet 2022 ini kerajaan dilihat terus memberikan sokongan kewangan kepada perusahaaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui agensi sedia ada termasuk sokongan terhadap 'crowdfunding' (pendanaan ramai) sebagai satu cara membantu PKS yang semakin popular.

"Pendanaan ramai ini adalah lebih sesuai berdasarkan pendanaan ekuiti dan bukannya pinjaman seperti biasa yang mempunyai kiraan risiko sendiri.

"Pendanaan ramai ini lebih sesuai utk perniagaan baru kerana kerana kadar risikonya dikongsi bersama dengan pelabur.

"Fokus turut diberikan dalam aspek kebajikan rakyat terutama B40, kesinambungan PMKS yang menyumbangkan 38 peratus dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK ), memulihkan sektor seperti pelancongan, penerbangan, sukan dan hiburan serta meneruskan transformasi digital terutama industri runcit," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, penekanan juga banyak diberi terhadap teknologi hijau dan penjagaan alam sekitar termasuk pengecualian cukai RM2,500 untuk kenderaan elektrik (EV).

"Namun begitu, kebimbangan saya adalah kadar inflasi yang dijangka meningkat apabila ekonomi memasuki fasa pemulihan.

"Jelas kenaikan harga barang telah pun berlaku dengan kenaikan harga minyak mentah, contohnya harga besi dan simen yang pasti meningkatkan kos pembinaan bangunan dan pelbagai lagi.

"Dan sektor pembinaan ini adalah pemangkin ekonomi negara yang utama kerana ia amat membantu dalam menjana pemulihan ekonomi negara," katanya.

Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera.

Dengan didokong tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan, bajet berkenaan kekal dengan tiga fokus induk iaitu Rakyat Yang Sejahtera, Perniagaan Yang Berdaya Tahan dan Ekonomi Yang Makmur dan Mampan.

Sebanyak RM233.5 bilion diperuntukkan bagi belanja mengurus, RM75.6 bilion untuk belanja pembangunan dan RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19.

Manakala, RM2 bilion turut disediakan sebagai simpanan luar jangka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 11:28 AM