Kuala Lumpur: Funding Societies, platform kewangan digital PKS (perusahaan kecil dan sederhana) terbesar dan terpadu di Asia Tenggara berjaya mengumpul pembiayaan hutang sebanyak AS$27 juta (RM126.63 juta) yang diketuai oleh pembiaya kredit swasta berfokus Asia, AlteriQ Global.

Dana itu akan disalurkan melalui pelbagai penyelesaian pembiayaan yang disesuaikan oleh Funding Societies kepada segmen PKS yang kurang mendapat khidmat di lima pasaran.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies, Kelvin Teo berkata, pihaknya menerima pembiayaan hutang ini daripada kumpulan pelbagai pelabur institusi yang semuanya mempercayai misi dan kisah pertumbuhan syarikat dalam melayani PKS Asia Tenggara.

"Di tengah ketidaktentuan ekonomi makro, kami terus memperdalam cadangan pembiayaan kami di lima pasaran terutama kepada PKS yang kurang mendapat khidmat kewangan.

"Pendanaan hutang ini akan mengembangkan lagi perluasan pembiayaan Funding Societies kepada PKS dan kami komited memberi peluang sama adil untuk menyelesaikan cabaran aliran tunai yang dihadapi PKS.

"Funding Societies sudah mencapai lebih AS$3.2 bilion (RM15.01 bilion) dalam pembiayaan perniagaan, memproses lebih daripada lima juta transaksi serta melayani kira-kira 100,000 PKS di seluruh rantau ini," katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 8:46 AM