Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat. FOTO BERNAMA
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat. FOTO BERNAMA
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menyalurkan geran 'one-off' sebanyak RM1,000 kepada semua syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pemandu teksi berdaftar membabitkan peruntukan RM1 bilion untuk manfaat sejuta penerima.

Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini turut responsif dalam menyokong aktiviti perniagaan khususnya membabitkan PMKS.

Katanya, kerajaan akan giat membantu syarikat PMKS melalui pemberian insentif dan kemudahan pembiayaan yang pelbagai.

"Sebagai komitmen kerajaan untuk menyokong dan memperkasa PMKS, mulai tahun taksiran 2023, kadar cukai PMKS ke atas pendapatan bercukai bagi RM100,000 pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus.

"Pengurangan ini dijangka memberi penjimatan sehingga RM2,000 kepada 150,000 pembayar cukai PMKS.

"Selain pembiayaan mikro, kerajaan juga menyediakan pinjaman yang menyokong syarikat kecil dan sederhana," katanya dalam pembentangan.

Menerusi Bank Negara Malaysia (BNM), sejumlah RM10 bilion dana pinjaman disediakan antaranya untuk menggalakkan aktiviti automasi dan pendigitalan PKS serta menyokong agenda sekuriti makanan dan pemulihan sektor pelancongan.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Bajet 2023 yang diumumkan kali ini jelas menunjukkan kerajaan menitikberatkan situasi PMKS yang menghadapi tekanan dalam proses pemulihan selepas pandemik dan menyokong segmen perniagaan dalam menghadapi kemelesetan ekonomi pada 2023.

Katanya, PMKS adalah sektor penting yang menyumbangkan 37 peratus kepada ekonomi negara iaitu keluaran dalam negara kasar (KDNK), di mana PMKS adalah 90 peratus daripada jumlah perniagaan berdaftar di Malaysia, malah ada beribu lagi perniagaan mikro yang tidak didaftar secara formal dalam sistem ekonomi.

"Kepentingan PMKS ini adalah segmen yang menjadi majikan utama iaitu hampir 60 peratus daripada tenaga buruh negara yang berjumlah 15 juta orang.

"Kepentingan PMKS tidak boleh dinafikan sama sekali terutama dalam mengelakkan pengangguran yang tinggi serta mewujudkan peluang pekerjaan.

"Namun, saya berpandangan masih kurang pembiayaan kepada PMKS untuk beralih kepada penggunaan digital atau e-dagang kerana banyak yang telah dicapai sewaktu pandemik selama dua tahun, justeru momentum ini mesti diteruskan dan dibangunkan bersama logistik supaya barangan luar bandar terutama keluaran PMKS di desa dapat dihantar pada harga yang murah, efisen dan cepat.

"Penyediaan platform e-dagang oleh syarikat tempatan mesti diberi insentif percukaian dan geran supaya kita tak bergantung kepada platform e-dagang syarikat antarabangsa seperti AliPay, Lazada, shoppe dan sebagainya yang telah mendominasi industri e-dagang kita.

"Tidak dikira lagi data rakyat dan PMKS yang telah dikumpulkan oleh mereka kerana di era digital kini, data adalah emas baru dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 6:45 PM