PENIAGA kedai makan di Kuala Lumpur, Rosnan Ramli, 40, menonton pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen. FOTO Fathil Asri
PENIAGA kedai makan di Kuala Lumpur, Rosnan Ramli, 40, menonton pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen. FOTO Fathil Asri
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Bajet 2023 yang diumumkan kali ini jelas menunjukkan kerajaan menitik beratkan situasi PMKS yang menghadapi tekanan dalam proses pemulihan selepas pandemik dan menyokong segmen perniagaan dalam menghadapi kemelesetan ekonomi pada 2023.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, PMKS adalah sektor penting yang menyumbangkan 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"PMKS adalah 90 peratus daripada jumlah perniagaan berdaftar di Malaysia, malah ada beribu lagi perniagaan mikro yang tidak didaftar secara formal dalam sistem ekonomi. Kepentingan PMKS ini adalah segmen yang menjadi majikan utama iaitu hampir 60 peratus daripada tenaga buruh negara yang berjumlah 15 juta orang.

"Kepentingan PMKS tidak boleh dinafikan sama sekali terutama dalam mengelakkan pengangguran yang tinggi serta mewujudkan peluang pekerjaan," katanya.

Bagaimanapun beliau berpandangan masih kurang pembiayaan kepada PMKS untuk beralih kepada penggunaan digital atau e-dagang kerana banyak yang telah dicapai sewaktu pandemik selama dua tahun,

"Momentum ini mesti diteruskan dan dibangunkan bersama logistik supaya barangan luar bandar terutama keluaran PMKS di desa dapat dihantar pada harga yang murah, efisen dan cepat.

"Penyediaan platform e-dagang oleh syarikat tempatan mesti diberi insentif percukaian dan geran supaya kita tak bergantung kepada platform e-dagang antarabangsa seperti AliPay, Lazada, atau Shopee yang telah mendominasi industri e-dagang kita.

"Tidak dikira lagi data rakyat dan PMKS yang telah dikumpulkan oleh mereka kerana di era digital kini, data adalah emas baru dunia," katanya.

Dalam pembentangan Bajet 2023 semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan geran one-off sebanyak RM1,000 kepada semua syarikat PMKS serta pemandu teksi berdaftar. Ia membabitkan peruntukan RM1 bilion dan dijangka dapat dimanfaatkan sejuta penerima.

Menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) RM10 bilion dana pinjaman disediakan antaranya untuk menggalakkan aktiviti automasi dan pendigitalan PKS serta menyokong agenda sekuriti makanan dan pemulihan sektor pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 9:13 AM