Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Penjaja air didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap bapa kandungnya, 17 Oktober lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mat Khairi Mohammad, 34, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas bapanya, Mohammad Zakaria, 62, di sebuah rumah di Kampung Dusun Durian, dekat Bachok, jam 10 pagi, pada 17 Oktober lalu.

Kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan juga denda.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula, tertuduh boleh dipenjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana mangsa adalah ahli keluarga dan memohon tarikh untuk laporan perubatan.

MAT Khairi didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap bapa kandungnya berusia 62 tahun. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MAT Khairi didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap bapa kandungnya berusia 62 tahun. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Tertuduh merayu supaya mahkamah membenarkannya diikat jamin dan isterinya akan membayar wang jaminan itu.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 13 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki tidak berhati perut apabila memukul bapanya dengan kayu sehingga mangsa patah tangan hanya kerana dia tidak mendapat wang RM10 untuk membeli makanan.

Mangsa yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) terpaksa dirawat di Hospital Machang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 1:35 PM