Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Pembantu juruelektrik didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dakwaan melibas bapa saudaranya menggunakan parang sehingga hampir putus pergelangan tangan di Kampung Membatu Kok Lanas, Februari lalu.

Tertuduh, Mohamad Asyraf Rahimi, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap bapa saudaranya berusia 44 tahun dengan menggunakan sebilah parang yang boleh menyebabkan kematian di tepi jalan di Kampung Membatu Kok Lanas pada 10.30 malam, 21 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizuan Sulaiman dan tertuduh diwakili peguam, Ilias Mohd Nor.

Terdahulu, Faizuan memohon tiada jaminan ditawarkan kerana jarak kediaman keluarga tertuduh hanya tujuh kilometer dengan mangsa selain dikhuatiri mengganggu saksi.

Ilias bagaimanapun memohon jaminan minimum ditawarkan kerana tertuduh perlu menyara kedua ibu bapanya dan memberi jaminan anak guamnya tidak mengganggu mangsa dan saksi.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 3 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh, Mohamad Asyraf Rahimi, 25 didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan dengan melibas bapa saudaranya menggunakan parang  sehingga hampir putus pergelangan tangan di Kampung Membatu Kok Lanas 21 Februari lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tertuduh, Mohamad Asyraf Rahimi, 25 didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan dengan melibas bapa saudaranya menggunakan parang sehingga hampir putus pergelangan tangan di Kampung Membatu Kok Lanas 21 Februari lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 2:24 PM