Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Keluarga wanita yang dipukul sehingga koma berharap penderitaan ditanggung wanita itu sejak hampir tiga tahun lalu, akan terbela.

Bapa Jahidah, Nordin Kassim, 70, berkata, perkara itu memang diharapkan keluarganya yang sedih mengenangkan apa yang berlaku terhadap anak sulungnya itu.

Beliau yang juga pesara itu tiba dari Keningau, Sabah kelmarin bagi mengikuti prosiding berkenaan turut sebak apabila melawat Jahidah di Sendayan, Seremban, semalam.

"Menjadi harapan besar keluarga segala penderitaan Jahidah akan mendapat pembelaan sewajarnya.

"Namun kami sekeluarga lega dan bersyukur dengan apa yang diputuskan mahkamah hari ini," katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Ditanya mengenai keadaan terkini anak sulungnya itu, Nordin berkata, keadaannya masih sama dan tidak berubah berbanding sebelum ini.

"Keadaan Jahidah masih sama macam dulu. Langsung tidak boleh bergerak dan hanya terlantar di katil tanpa boleh bercakap dengan orang lain.

"Keadaan Jahidah itu membuat saya sebak melihat penderitaan yang ditanggungnya apatah lagi cucu yang tidak dapat kasih sayang ibu seperti sepatutnya," katanya.

Mahkamah Sesyen hari ini dilaporkan memerintahkan peniaga yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya sehingga koma, tiga tahun lalu, untuk membela dirinya.

Hakim Fatimah Zahari membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap tertuduh, Rosmaini Abd Raof, 41, di akhir kes pendakwaan.

Terdahulu, Nordim serta dua anaknya, Fauziah dan Fazariah hadir seawal jam 8 pagi di perkarangan mahkamah bagi mengikuti kes berkenaan.

Peguam pemerhati yang mewakili keluarga Jahidah Nordin@Sylvester, 46, Muhammad Hazeem Mohd Norizan, turut hadir mengikuti prosiding berkenaan.

Pada 17 Jun 2021, Rosmaini, dilaporkan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, itu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bekas isteri ketiga, Jahidah Nordin@Sylvester, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan isterinya itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin kira-kira jam 6 pagi, 4 Mei 2021.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Seksyen 325 memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 1:44 PM