DADAH yang dirampas daripada suspek di paya bakau Bagan Pasir, semalam. FOTO ihsan polis
DADAH yang dirampas daripada suspek di paya bakau Bagan Pasir, semalam. FOTO ihsan polis
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Kawasan paya bakau terpencil dikesan dijadikan lokasi pengedaran dadah di sekitar daerah ini.

Taktik itu digunakan seorang lelaki dipercayai tokan dadah yang aktif membekalkan dadah kepada penagih sejak lebih sebulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dihidu polis yang menyerbu paya bakau terbabit di Bagan Pasir, dekat sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, Superintendan Rizal Mohamed berkata, pihaknya menahan warga tempatan berusia 52 tahun dalam keadaan mencurigakan dipercayai menunggu pelanggan pada 12.30 tengah hari.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis merampas heroin seberat 33.8 gram.

"Turut dirampas, syabu seberat 8.1 gram dan sebiji pil dipercayai Eramin 5 seberat 0.2 gram.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 42.1 gram dengan anggaran nilai RM1,415.

"Dadah yang dirampas ini mampu menampung penggunaan seramai 140 penagih," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek, pihaknya berjaya memutuskan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Bagan Pasir.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Tanjong Karang mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Saya memohon masyarakat supaya memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat kepada kami berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 11:18 AM