Amirul Aiman Hamsuddin


IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan merampas syabu dan pil Eramin 5 bernilai kira-kira RM3.5 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata, rampasan itu membabitkan syabu seberat 61 kilogram (kg) dan Erimin 5 seberat 11.65 kg.

Beliau berkata, kejayaan itu susulan serbuan dilakukan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa bersama pasukannya di sebuah rumah di Jalan Bagan Pasir, Tanjong Karang, Kuala Selangor, 5 petang semalam.

"Hasil pemeriksaan mendapati semua dadah itu disorok di rumah berkenaan. Rampasan membabitkan empat guni plastik mengandungi mengandungi syabu seberat 61 kg.

"Turut dirampas, empat bungkusan dibalut pita pelekat kuning dengan setiap satu daripadanya mempunyai 74 ikatan gulung getah mengandungi Eramin 5 seberat 11.65 kg," katanya pada sidang media di IPD Kuala Selangor, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menahan enam sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak.

"Kami masih menjalankan siasatan berhubung bekalan dadah itu diperoleh dan aktiviti pengedaran membabitkan suspek dewasa berusia 36 hingga 64 tahun," katanya.

Dalam pada itu, Ramli berkata, pihaknya sedang mengesan seorang lagi individu, Azam Mohamad Tasik, 30, bagi membantu siasatan.

"Kita minta dia tampil segera ke IPD Kuala Selangor untuk membantu siasatan.

"Semua suspek yang ditahan tidak memiliki rekod jenayah lampau dan kami masih menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, dua daripada tiga suspek dewasa berusia 36 dan 48 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 6:49 PM